Tajuk: Peristiwa Akhir Zaman

JANGAN SUKA MENYALAHKAN ORANG LAIN
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . bersabda : “jika ada seseorang berkata: “orang ramai (sekarang ini) sudah rosak”, maka orang yang berkata itu sendiri yang paling rosak di antara mereka”. H.R. Muslim

Iman Nawawi ketika menulis hadis ini dalam kitab Riyadhus-Shalihin beliau memberi penjelasan seperti berikut:“Larangan semacam di atas itu (larangan berkata bahawa orang ramai telah rosak) adalah untuk orang yang mengatakan sedemikian tadi dengan tujuan rasa bangga pada diri sendiri sebab dirinya tidak rosak, dan dengan tujuan merendahkan orang lain dan merasa dirinya lebih mulia daripada mereka. Maka yang demikian ini adalah haram”.
“Ada pula orang yang berkata seperti ini kerana ia melihat kurangannya perhatian orang ramai terhadap agama mereka sertai didorong oleh perasaan sedih melihat nasib yang dialami oleh mereka dan timbul daripada perasaan cemburu terhadap agama, maka perkataan itu tidak ada salahnya”.

Bangsa Arab Sudah Hampir Binasa
Daripada Ummul Mu’minin, Zainab binti Jahsy (isteri Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam .), beliau berkata: “(Pada suatu hari) Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . masuk ke dalamnya dengan keadaan cemas sambil bersabda, La ilaha illallah, celaka (binasa) bagi bangsa Arab dari kejahatan (malapetaka) yang sudah hampir menimpa mereka. Pada hari ini telah terbuka dari dinding Ya’juj dan Ma’juj seperti ini”, dan Baginda menemukan hujung ibu jari dan hujung jari yang sebelahnya (jari telunjuk) yang dengan itu mengisyaratkan seperti bulatan. Saya (Zainab binti Jahsy) lalu bertanya: “Ya Rasulullah! Apakah kami akan binasa sedangkan di kalangan kami masih ada orang-orang yang soleh?”. Lalu Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam . bersabda “Ya, jikalau kejahatan sudah terlalu banyak”. H.R. Bukhari Muslim

Keterangan
Hadis di atas menerangakan bahawa apabila di sesuatu tempat atau negeri sudah terlampau banyak kejahatan, kemungkaran dan kefasiqan, maka kebinasaan akan menimpa semua orang yang berada di tempat itu. Tidak hanya kepada orang jahat sahaja, tetapi orang-orang yang soleh juga akan dibinasakan, walaupun masing-masing pada hari qiamat akan diperhitungkan mengikut amalan yang telah dilakukan.

Oleh itu, segala macam kemungkaran dan kefasiqan hendaklah segera dibasmikan dan segala kemaksiatan hendaklah segera dimusnahkan, supaya tidak terjadi malapetaka yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang melakukan kemukaran dan kejahatan tersebut, tetapi ianya menimpa semua penduduk yang berada di tempat itu.

SELURUH DUNIA DATANG MENGERUNI DUNIA ISLAM
Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasullulah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . bersabda; “Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang- orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka”. Maka salah seorang sahabat bartanya, “Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?” Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam . menjawab, “Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali ‘ tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah kan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit ‘wahan’”. Seorang sahabat bertanya: “Apakah wahan itu hai Rasulullah?”. Nabi kita menjawab: “Cinta pada dunia tkut pada mati”. H.R. Abu Daud

Keterangan
Memang benar apa yang disabdakan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . Keadaan umat Islam pada hari ini, menggambarkan kebenaran apa yang disabdakan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . Umat Islam walaupun mereka mempunyai bilangan yang banyak, iaitu 1, 000juta (1/5 penduduk dunia), tetapi mereka selalu dipersendakan dan menjadi alat permainan bangsa-bangsa lain. Mereka ditindas, diinjak-injak, disakiti, dibunuh dan sebagainya. Bangsa-bangsa dari seluruh dunia walaupun berbeza-beza agama, mereka bersatu untuk melawan dan melumpuhkan kekuatannya.
Sebenarnya, segala kekalahan kaum Muslimin adalah berpunca dari dalam diri kaum Muslimin itu sendiri, iaitulah penyakit ‘wahan’ yang merupakan penyakit campuran dua unsur yang selalu wujud dalam bentuk kembar dua, iaitu “cinta dunia” dan “takut mati”. Kedua-dua penyakit ini tidak dapat dipisahkan. “Cinta dunia” bermakna tamak, rakus, bakhil dan tidak mahu mendermakan harta di jalan Allah Subhanahu wa ta’ala . “Takut mati” pula bermakna leka dengan kehidupan dunia dan tidak membuat persiapan untuk menghadapi negeri akhirat dan tidak ada perasaan untuk berkorban dengan diri dan jiwa dalam memperjuangkan agama Allah Subhanahu wa ta’ala .

ILMU AGAMA AKAN BERANSUR-ANSUR HILANG
Daripada Abdullah bin Amr bin ‘ash r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . bersabda; “bahawasanya Allah Subhanahu wa ta’ala . tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi Allah Subhanahu wa ta’ala . menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim-ulama. Maka apabila sudah ditiadakan alim-ulama, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain.” H.R. Muslim

Keterangan
Sekarang ini alim-ulama sudah berkurangan. Satu demi satu pergi meninggalkan kita. Walau peribahasa melayu mengatakan, “patah tumbuh, hilang berganti”, peribahasa ini tidak tepat berlaku kepada alim-ulama. Mereka patah payah tumbuh dan hilang payah berganti. Sampailah satu suatu saat nanti permukaan bumi ini akan kosong dari ulama. Maka pada masa itu sudah tidak bererti lagi kehidupan di dunia ini. Alam penuh dengan kesesatan. Manusia telah kehilagan nilai dan pegangan hidup. Sebenarnya, alim-ulamalah yang memberikan makna dan erti pada kehidupan manusia di permukaan bumi ini. Maka apabila telah pupus alim-ulama, hilanglah segala sesuatu yang bernilai.

UMAT ISLAM MENGIKUTI LANGKAH-LANGKAH YAHUDI DAN NASRANI
Daripada Abu Sa’id Al-Khudri r.a. berkata: Bahawasanya Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . bersabda; “kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka”. Sahabat bertanya, “Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nashrani yang kau maksudkan?”. Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam . menjawab, “Siapa lagi kalau bukan mereka”. H.R. Muslim
Keterangan
Umat Islam akan mengikut jejak langkah ataupun “cara hidup” orang-orang Yahudi dan Nashrani, hinggalah dalam urusan yang kecil dan perkara-perkara yang tidak menasabah. Contohnya, jikalau orang Yahudi dan Nashrani masuk ke lubang biawak yang kotor dan sempit sekali pun, orang Islam akan terus mengikut mereka.

GOLONGAN ANTI HADIS
Daripada Miqdam bin Ma’dikariba r.a. berkata: Bahawasanya Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . bersadba; “Hampir tiba suatu masa di mana orang lelaki yang sedang duduk bersandar di atas katilnya, lalu disampaikan orang kepadanya sebuah hadis daripada hadisku maka ia berkata: “Pegangan kami dan kamu hanyalah kitabullah (Al-Quran) sahaja. Apa yang dihalalkan oleh al-Quran kami halalkan. Dan apa yang ia haramkan kami haramkan”. (Kemudian Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam . melanjutkan sabdanya) : “Padahal apa yang diharamkan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . samalah hukumnya dengan apa yang diharamkan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala .”.
H.R. Abu Daud dan Ibnu Majah
Keterangan
Lelaki yang dimaksudkan di dalam hadis ini ialah seorang yang mengingkari kedudukkan Hadis sebagai sumber hukum yang kedua selepas al-Quran. Ia hanya percaya kepada al-Quran sahaja. Baginya, hadis tidak perlu untuk dijadikan sumber hukum dan tempat rujukan. Golongan ini tiak syak lagi telah terkeluar dari ikatan agama Islam. Dan pada realitinya seseorang itu tidak akan dapat memahami al-Quran jika tidak merujuk kepada hadis Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam . Al-Quran banyak menerangkan hal-hal yang besar dan garis panduan umum. Maka Hadislah yang berfungsi untuk memperincikan isi dan kandungan serta kehendak ayat-ayatnya serta menghuraikan dan menerangkan yang musykil. Oleh kerana itu, syariat tidak akan sempurna kalau hanya dengan al-Quran sahaja, tetapi ia mesti disertai dengan hadis Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam .

GOLONGAN YANG SENTIASA MENANG
Daripada Mughirah bin Syu’bah r.a. berkata: Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . bersabda: “Sentiasa di kalangan kamu ada golongan yang berjaya (dalam perjuangan mereka), sehinggalah sampai saat yang dikehendaki oleh Allah Subhanahu wa ta’ala . Mereka sentiasa berjaya”. H.R. Bukhari
Keterangan
Allah Subhanahu wa ta’ala . telah menjadikan umat Islam ini umat yang terakhir sekali. Oleh itu Allah Subhanahu wa ta’ala . berjanji akan memelihara kitabnya (al-Quran) dan memastikan lahirnya generasi demi generasi yang akan memikul tugas dakwah hingga tetap wujud golongan mukminin di permukaan bumi ini.

PENYAKITUMAT-UMAT TERDAHULU
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . bersabda, “Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat terdahulu”. Sahabat bertanya, “Apakah penyakit-penyakit umat-umat terdahulu?” Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam . menjawab, “Penyakit-penyakit itu ialah: (1) terlalu banyak seronok, (2) terlalu mewah, (3) menghimpun harta sebanyak mungkin, (4) tipu menipu dalam merebut harta benda dunia, (5) saling memarahi, (6) hasut menghasut sehingga jadi zalim menzalim”.
H.R. Hakim
Keterangan
Penyakit-penyakit yang disebut oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . tadi telah banyak kita lihat di kalangan kaum muslimin di hari ini. Di sana sini kita melihat penyakit ini merebak dan menjalar dalam masyarakat dengan ganasnya. Dunia Islam dilanda krisis rohani yang sangat tajam dan meruncing. Dengan kekosongan rohano itulah mereka terpaksa mencari dan menghimpun harta benda sebanyak-banyaknya untuk memuaskan hawa nabsu. Maka apabila hawa nabsu diperturunkan tentunyamereka terpaksa menggunakan segala macam cara dan tipu helah. Di saat itu, hilanglah nilai-nilai akhlak dan yang wujud hanyalah kecurangan, khianat, hasud-menghasut dan sebagainya.

ISLAM KEMBALI DAGANG
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam .; “Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing). Dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang-orang yang asing”.
H.R. Muslim
Keterangan
Islam mula tersebar di Mekkah dengan keadaan yang sangat asing dan dagang. Sangat sedikit penganut dan pendukungnya kalau dibandingkan dengan penentangnya. Kemudian setelah itu Islam tersebar ke seluruh pelusuk dunia sehingga dianuti oleh du pertiga penduduk dunia. Kemudian Islam kembali asing dan dirasa ganjil dari pandangan dunia, bahkan dari pandangan orang Islam sendiri. Sebahagian daripada orang Islam merasa ganjil dan pelik bila melihat orang islam yang iltizam (komitmen) dengan Islam dan cuba mengamalkan tuntutan Islam yang sebenar. Seorang yang iltizam dengan Islam dipandang sepi oleh masyarakat dan terlalu susah untuk diterima sebagai individu yang sihat. Contohnya, kalau ada sesuatu program kemasyarakatan kemudian masuk waktu sembahyang, tiba-tiba ada seseorang yang meminta diri untuk menunaikan sembahyang, maka tindakan itu dianggap tidak sopan dan kurang ajar. Sedangkan orang yang tidak bersembahyang sambil bersenda-senda ketika orang lain bersembahyang tidak dianggap sebagai perbuatan yang salah dan terkutuk.

BAHAYA KEMEWAHAN
Daripada Ali bin Adi Thalib r.a.; “bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . di dalam masjid. Tiba-tiba dating Mus’ad bin Umair r.a. dan tiada di atas badannya kecuali hanya sehelai selendang yang bertampung dengan kulit. Takkala Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . melihat kepadanya Baginda menangis dan menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus’ad ketika berada di Mekkah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh ibunya) dan kerana memandang nasib Mus’ad sekarang (ketika berada di Madinah sebagai seorang Muhajirin yang terpaksa meninggalkan segala harta benda dan kekayaan di Mekkah). Kemudian Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam . bersabda, “Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi di waktu pagi dengan satu pakaian, dan pergi di waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan bila diangkatkan satu hidangan diletakkan satu hidangan yang lain. Dan kamu menutupi (menghias) rumah kamu seperti mana kamu memasang kelamdu Ka’bah?”. Maka jawab sahabat, “Wahai Rasulullah, tentunya di waktu itu kami lebih baik daripada hari ini. Kami akan memberikan penumpuan kepada masalah ibadat sahaja dan tidak susah mencari rezeki”. Lalu Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam . bersabda, “Tidak! Keadaan kamu di hari ini adalah lebih baik daripada keadaan kamu di hari itu”.
H.R. Tirmizi
Keterangan
Dalam hadis ini Nabi kita Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam . menerangkan bahawa umatnya pada suatu masa kelak akan mendapat kekayaan dan kelapangan dalam kehidupan. Pagi-petang pakaian silih berganti. Hidangan makanan tak putus-putus. Rumah-rumah mereka tersergam indah dan dihias dengan bermacam-macam perhiasan. Dalam keadaan demikian kita juga akan berkata seperti perkataan sahabat. Di mana, kalau semuanya sudah ada, maka senanglah hendak membuat ibadat. Tetapi Nabi kita Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam mengatakan, “Keadaan serba kekurangan itu adalah lebih baik untuk kita”, ertinya lebih baik untuk kita”, ertinya lebih memungkinkan kita untuk beribadat.

UMAT ISLAM MEMUSNAHKAN ORANG-ORANG YAHUDI
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . bersabda, “Tidaklah akan berlakunya qiamat, sehinggakaum Muslimin memerangi kaum Yahudi sehimgga kaum Yahudi itu bersembunyi di sebalik batu dan pohon kayu, lalu batu dan pohon kayu itu berkata, “Hai orang Islam, inilah orang Yahudi di belakang saya. Kemarilah! Dan bunuhlah ia!” kecuali pohon gharqad ( semacam pohon yang berduri), kerana sesungguhnya pohon ini adalah dari pohon Yahudi (oleh sebab itu ia melindunginya) ”.
H.R. Bukhari Muslim
Keterangan
Hadis ini menerangkan yang sangat besar kepada kaum Muslimin dan menjanjikan kemenangan mereka dalam memerangi orang-orang Yahudi. Jadi walaupun orang-orang Yahudi merancang dan berusaha sedaya upaya untuk membunuh dan menyesatkan umat Islam, namun akhirnya kaum Yahudi akan binasa juga dalam kepungan umat Islam. Umat Islam akan membunuh dan menghapuskan semua kaum Yahudi yang ada di permukaan bumi ini dan umat Islam akan ditolong oleh makluk-makluk Allah Subhanahu wa ta’ala . yang lain, sehinggakan batu dan pohon kayu akan memberi pertolomgan kepada kita.

SIFAT AMANAH AKAN HILANG SEDIKIT DEMI SEDIKIT
Daripada Huzaifah bin Al-Yaman r.a katanya; “Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam .pernah memberitahu kami dua buah hadis (mengenai dua kejadian yang berlaku) yang pertama sudah saya lihat sedang yang kedua saya menanti-nantikannya. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam .memberitahu bahawasanya amanat itu turun ke dalam lubuk hati orang-orang yang tertentu. Kemudian turunlah al-Quran. Maka orang-orang itu lalu mengetahuinya melalui panduan as-Sunnah. Selanjutnya Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . menceritakan kepada kami hilangnya amanah, lalu beliau bersabda, “Seseorang itu tidur sekali tidur, lalu diambillah amanah itu dalam hatinya, kemudian tertinggallah bekasnya seperti bekas yang ringan sahaja. Kemudian ia tertidur pula, lalu diambillah amanah itu dari dalam hatinya, maka tinggallah bekasnya seperti lepuh di tangan (mengelembung di tangan dari bekas berkerja berat seperti menggunakan kapak atau cangkul). Jadi seperti bara api yang kau gilimgkan dengan kakimu, kemudian mengelembungkan ia dan engkau melihat ia meningi, padahal tidak ada apa-apa”. Di ketika Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . menceritakan hadis ini beliau mengambil sebiji batu kecil (batu kerikil) lalu mengglingkannya dengan kakinya.
“Kemudian berpagi-pagi (jadilah) orang ramai berjual beli, maka hampir sahaja tiada ada seorang pun yang suka menunaikan amanh, sampai dikatakan orang bahawasanya di kalangan Bani Fulan (di kampung yang tertentu) itu ada seorang yang baik memegang amanah, sangat terpercaya dan orang ramai menyatakan, ” Alangkah tekunnya dalam bekerja, alangkah indahnya pekarjaannya, alangkah pula cerdik otaknya. Padahal di dalam hatinya sudah tiada lagi keimanan sekalipun hanya seberat biji sawi”. Maka sesungguhnya telah sampai masanya, saya pun tidak memperdulikan manakah di antara kamu semua yang saya hendak bermubaya’ah (berjual beli). Jikalau ia seorang Islam, maka agamalah yang akan mengembalikan kepadaku (maksudnya agamanyalah yang dapat menahannya dari kianat). Dan jikalau ia seorang Nashrani atau Yahudi maka orang yang memegang kekuasaan/pemerintahlah yang dapat membantu aku untuk mendapatkan semua hak-hakku daripadanya) adapun pada hari ini maka saya tidak pernah berjual beli dengan kamu semua kecuali dengan Fulan dan Fulan (orang-orang yang tertentu sahaja). H.R Bukhari Muslim
Keterangan
Hadis ini memerangkan bahawa sifat amanah akan hilang secara beransur-ansur dari kalangan kaum Muslimin, sehinggalah sampai suatu saat nanti orang yang dianggap baik akan manjaga amanah pun telah kianat pula.

ORANG YANG BAIK BERKURANG SEDANG YANG JAHAT BERTAMBAH BANYAK
Daripada Aisyah r.a. berkata: “aku mendengar Rasulullah s.a w. bersabda; “Tidak akan berlaku hari kiamat sehingga anak seseorang menjadi punca kemarahan (bagi ibubapanya) dan hujan akan menjadi panas (hujan akan berkurang dan cuaca akan menjadi panas) dan akan bertambah ramai orang yang tercela dan akan berkurangan orang yang baik, dan anak-anak menjadi berani melawan orang-orang tua dan orang yang jahat berani melawan orang-orang baik”. H.R. Thabrani
Keterangan
Diantara tanda-tanda kiamat ialah:
1. Bila anak-anak merupakan punca kemarahan orang tuanya.
2. Bila hujan berkurangan, cuaca menjadi panas dan udara semakin tercemar.
3. Orang jahat bertambah ramai dan galakan untuk membuat kejahatan sangat banyak.
4. Orang yang berbuat kebaikan sedikit dan tidak mendapat kemudahan yang sewajarnya.
5. Anak-anak Sudah berani melawan orang tua.
6. Orang-orang yang jahat berani melawan orang-orang yang baik dan tidak segan terhadap mereka.

DI MANAKAH PUNCA KEBINASAAN SESEORANG?
Daripada Abu Hurairuh r.a. berkata: Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . bersabda; “Selagi akan datang suatu masa di mana orang yang beriman tidak akan dapat menyelamatkan imannya, kecuali bila ia lari membawanya dari suatu puncak bukit ke puncak built yang lain dan dari suatu lubang kepada lubang yang lain. Maka apabila zaman itu telah terjadi, segala pencarian (pendapatan kehidupan) tidak dapat dicapai kecuali dengan perkara yang membabitka kemurkaan Allah s.w t. Maka apabila ini telah terjadi, kebinasaan seseorang adalah berpunca dari menepati kehendak isterinya dan anak-anaknya. Kalau ia tidak mempunyai isteri dan anak, maka kebinasaannya adalah berpunca dari menepati kehendak kedua orang tuanya. Dan jikalau orang tuanya sudah tiada lagi, maka kebinasaannya adalah berpunca dari menepati kehendak kaum kerabatnya (adik beradiknya sendiri) atau dari menepati kehendak jijannya”. Sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam ., apakah maksud perkataan engkau itu?” (kebinasaan seseorang dari kerana isterinya, atau anaknya, atau orang tuanya, atau keluarganya, atau jirannya). Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam . menjawap, “Mereka akan mencelanya dan mengaibkannya dengan kesempitan kehidupannya. Maka dari kerana itu ia terpaksa melayan kehendak mereka dengan menceburkan diringa di jurang-jurang kebinasaan yang akan menghancurkan dirinya”. H.R. Baihaqi
Keterangan
Benar sekali sabdaan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . ini. Ramai orang mengetahui perkara-perkara yang diharamkan dalam agama tetapi terpaksa juga mereka menceburkan diri ke dalam lumpur kemasiatan untuk melayan kehendak isteri, anak, orang tua, keluarga ataupun jiran mereka.

DUA GOLONGAN YANG AKAN MENJADI PENGHUNI NERAKA
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . bersabda; “Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni Neraka yang belum lagi aku melihat mereka. Pertama, golongan (penguasa) yang mempunyai cemeti-cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang. Kedua, perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang, berlenggang-lenggok waktu berjalan, menghayun-hayunkan bahu. Kepala mereka (sanggul di atas kepala mereka) bagaikan bonggol (goh) unta yang senget. Kedua-dua golongan ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan dapat mencium bau wanginya. Sesungguhnya bau wangi syurga itu sudah tercium dari perjalanan yang sangat jauh daripadanya”.
H.R. Muslim
Keterangan
Kebenaran sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . ini dapat kita lihat dari realiti masyarakat yang ada pada hari ini. Ada golongan yang suka memukul orang dengan cemeti tanpa soal-siasat, bertindak kepada manusia dengan hokum riba. Dan ramai perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang. Maksudnya, kalau kita hendak katakan berpakaian pon boleh, kerana masih ada secarik kain di atas badan, dan kalau kita hendak katakan bertelanjang pon boleh, kerana walaupun berpakaian tetapi hanya dengan secarik kain sahaja, maka samalah dengan bertelanjang. Atanpun ia berpakaian dengan pakaian yang sangat tipis sehingga menampakkan warna kulit dan mencorakkan bentuk aurat. Kemudian berjalan sambil menhayun-hayunkan badan dengan sanggul yang besar, seperti goh unta.

ZAMAN DI MANA ORANG TAK PEDULIKAN DARI MANA MENDAPATKAN HARTA
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam .; “Akan datang suatu zaman seseorang tidak mempedulikan dari mana ia mendapatkan harta, apakah dari sumberyang halal atau pun haram”.
Keterangan
Di zaman sekaramg ini merupakan zaman ketandusan rohani dan zaman materialisma, segala sesuatu adalah bernilai dengan nilai harta. Manusia cakar mencakar untuk memperolehi sebanyak mungkin harta kekayaan. Mereka tidak mempedulikan dari mana datangnya harta yang diperolehi, adakah dari sumber yang halal atau haram.

HARTA RIBA WUJUD DI MERATA TEMPAT
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . bersabda; “Akan tiba suatu zaman, tidak ada seorang juga pun kecuali ia terlibat dalam memakan harta riba. Kalau ia tidak memakan secara langsung, ia akan terkena juga debu-debunya”. H.R. Ibnu Majah

SEDIKIT LAKI-LAKI DAN BANYAK PEREMPUAN
Daripada Anas r.a. berkata; “Akan aku ceritakan kepada kamu sebuah hadis yang tidak ada orang lain yang akan menceritakannya setelah aku. Aku mendengar Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . bersabda; “Di antara tanda qiamat ialah sedikit ilmu, banyak kejahilan, berlaku banyak perzinaan, ramai kaum perempuan dan sedikit kaum lelaki, sehingga nantinya seorang lelaki akan mengurus lima puluh orang perempuan.” H.R. Bukhari Muslim
Keterangan
Nabi kita Sallallahu ‘alaihi wa sallam . menerangkan, bahawa diantara tanda hampirnya qiamat ialah sedikit ilmu agama, sedikit kaum lelaki dan ramai kaum perempuan.

GOLONGAN YANG SELAMAT
Daripada ‘Auf bin Malik r.a. berkata: Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . bersabda; “Umat Yahudi telah berpecah belah menjadi tujuh puluh satu golongan, maka hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga dan yang tujuh puluh lagi akan masuk neraka. Uamt Nasrani telah berpecah belah menjadi tujuh pulu dua golongan, maka tujuh puluh satu golongan masuk neraka dan hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga. Demi Tuhan yang diri ku di dalam kekuasaanNya, umatku akan berpecah menjadi tujuh puluh tiga golongan, hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga dan tujuh puluh dua lagi akan masuk neraka. Sahabat bertanya, “Golongan mana yang selamat?”. Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam . menjawab, “Mereka akan jamaah”. (Golongan Ahlus Sunnah Wal Jamaah). H.R. Ibnu Majah
Keterangan
Yang dimaksudkan dengan jamaah yang selamat ini ialah golongan yang tetap berpegang teguh dengan al-Quran dan as-Sunnah dan juga dengan pendirian sahabat-sahabat dan salafus-shaleh, atau pun yang diistilahkan oleh para ulama dengan golongan “Ahlus Sunnah wal Jamaah”. Selain dari golongan ini adalah sesat dan akan menjadi penghuni neraka.

LAHIRNYA IMAN MAHDI
Daripada Abdullah bin Mas’ud r.a. berkata: Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . bersabda: “Dunia tidak akan hilang (qiamat) sehinggalah bangsa Arab akan dikuasai olehseorang lelaki daripada keluargaku (keturunanku) yang namanya sama dengan namaku”. H.R. Tirmizi
Keterangan
Hadis ini menerangkan bahawasanya dunia ini tidak akan qiamat sehinggalah bangsa Arab dan juga bangsa Ajam dikuasai oleh seorang lelaki keturunan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . iaitu Iman Mahdi. Ia akan melaksanakan keadilan di muka bumi ini dan akan diikuti oleh seluruh kaum muslimin. Ia akan memerintah selama tujuh tahun. Kemudian keluarlah Dajjal dan turun pula Nabi Isa alaihis-salam, dan Nabi Isalah yang akan membunuh Dajjal itu.

SEPULUH TANDA-TANDA QIAMAT YANG BESAR
Daripada Huzaifah bin Asid Al-Ghifari r.a. berkata: “Datang kepada kami Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . dan kami pada waktu itu sedang berbincang-bincang. Lalu beliau bersabda: “Apa yang kamu perbincangkan?”. Kami menjawab: “Kami sedang berbincang tentang hari qiamat”. Lalu Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam . bersabda: “Tidak akan terjadi hari qiamat sehingga kemu melihat sebelumnya sepuluh macam tanda-tandanya”. Kemudian beliau menyebutkannya: “Asab, Dajjal, binatang, terbit matahari dari tempat tenggelamnya. Turunnya Isa bin Maryam alaihissalam, Ya’juj dan Ma’juj, tiga kali gempa bumi, sekali dari timur, sekali dari barat dan yang ketiga di Semenanjung Arab yang akhir sekali adalah api yang keluar dari arah negeri Yaman yang akan menghalau manusia kepada Padang Mahsyar mereka”.
H.R. Muslim
Keterangan
Sepuluh tanda itu ialah:
1. Dukhan (asap) yang akan keluar dan mengakibatkan penyakit yang seperti selesema di kalangan orang-orang yang beriman dan akan mematikan semua orang kafir.
2. Dajjal yang akan meragut keiman, hinggakan ramai yang akan terdaya dengan seruannya.
3. Binatang besar yang keluar berhampiran Bukit Shafa di Mekkah yang akan bercakap bahawa manusia tidak beriman lagi kedapa Allah Subhanahu wa ta’ala .
4. Matahari akan terbit dari tempat tenggelamnya. Maka pada masa itu Alah Subhanahu wa ta’ala . tidak lagi menerima iman orang kafir dan tidak menerima taubat dari orang-orang yang berdosa.
5. Turunnya Nabi Isa alaihissalam ke permukaan bumi ini. Beliau akan mendukung pemeritahan Iman Mahadi yang berdaulat pada masa itu dan beliau akan mematahkan segala salib yang dibuat oleh orang-orang Kristian dan beliau juga yang akan membunuh Dajjal.
6. Keluarnya bangsa Ya’juj dan Ma’juj yang akan membuat kerosakkan di permukaan bumi ini, iaitu apabila mereka berjaya menghancurkan yang dibuat dari besi bercampur tembaga yang telah didirikan oleh Zul Qarnain bersama dengan pembantu-pebantunya pada zaman dahulu.
7. Gempa bumi di Timur.
8. Gempa bumi di Barat.
9. Gempa bumi di Semenanjung Arab.
10. Api besar yang akan menhalau manusia menuju ke Padang Mahsyar. Api itu akan bermula dari arah negeri Yaman.


..............................................................
Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
Malaysia
013-4006206
011-1070-4212
04-988-2701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
abdazizharjin.blogspot.com