Tajuk: Gejala Sosial Dalam Kalangan Remaja Kian Menular

Masalah sosial yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini seperti kejadian rogol, sumbang mahram atau kes-kes bersekedudukan antara ayah dengan anak-anak atau yang melibatkan adik beradik masih lagi hangat diperbincangkan. Beberapa perkara penting mengenai aurat dalam rumah, sama ada antara ibu bapa dengan anak-anak atau antara anak-anak sendiri yang kurang dititikberatkan atau diberi tumpuan oleh sebahagian ibu bapa.Hal ini akhirnya mencambahkan benih kemaksiatan sehingga berkembang biak, yang dibimbangi jika tidak ditangani akan menjadi dahan pohon yang sukar untuk dicantas lagi.

Sesungguhnya Islam sangat menitikberatkan pencegahan pada peringkat awal kerana mencegah lebih baik daripada merawat. Perkara yang buruk hendaklah dihindarkan agar ianya tidak member kesan buruk kepada kita.Justeru itu, Islam datang bertujuan memelihara maruah manusia dan menutup apa jua ruang yang boleh membawa kepada kemaksiatan atau kebinasaan.

Kes-kes `haruan makan anak' seperti yang berlaku hari ini sebenarnya boleh dielakkan seandainya ibu bapa mengambil berat dan memahami beberapa adab dan syariat yang telah disusun oleh Islam, yang melindungi aurat dan maruah anak-anak juga ibu bapa itu sendiri.

Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam. bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud:

Setiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan fitrah, (suci bersih) kedua- dua ibu bapalah yang mencorakkan kehidupan mereka, sama ada menjadikan mereka Yahudi, Nasrani atau Majusi.

Demi melindungi aurat serta maruah anak-anak, Islam telah menyusun beberapa adab dalaman
dalam sesebuah rumah, sama ada yang telah ditetapkan dalam al-Quran atau melalui sunah
Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam sendiri.

Kesucian sumber ini secara semula jadinya mampu membina dan membentuk akhlak anak-anak dan menghindarkan sebuah keluarga itu daripada sebarang unsur yang membawa kepada kemaksiatan kepada Allah Subhanahu wa ta’ala.

Antara adab-adab tersebut iaitu adab meminta izin masuk ke bilik tidur ibu bapa.

Adab ini sebenarnya telah diatur sendiri oleh Allah Subhanahu wa ta’ala. dalam al-Quran melalui firman-Nya yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum
baligh antara kamu meminta izin kepada kamu (sebelum masuk kepada kamu) dalam tiga masa: iaitu :

Sebelum sembahyang subuh, ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari dan sesudah sembahyang isyak.Itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya) dan mereka tidaklah bersalah kemudian dari masa yang tersebut, (kerana mereka) orang yang selalu keluar masuk kepada kamu dan kamu sentiasa berhubung rapat antara satu dengan yang lain.

Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatnya dan ingatlah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Dan apabila kanak-kanak dari kalangan kamu telah baligh, maka hendaklah mereka meminta izin sama seperti cara orang-orang yang tersebut dahulu meminta izin. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatnya dan ingatlah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
 (An-Nur: 58-59) 

Berdasarkan ayat di atas jelas bahawa rumah dan segala isinya merupakan `harta' yang menjadi
benteng maruah kepada sesebuah keluarga.Bilik tidur pula menjadi benteng terakhir yang harus dijaga adab-adabnya.Oleh itu anak-anak, sama ada yang masih kecil mahu pun yang telah dewasa harus diatur dan dididik menghargai dan menghormati tempat tidur ibu bapa, terutama waktu-waktu tertentu ibu bapa yang menyentuh masa istirahat mereka.

Justeru itu anak-anak apabila mahu berbicara dan meminta sesuatu, mereka dikehendaki memberi salam dan meminta izin terlebih dahulu.ini kerana dapat mendidik anak-anak lebih menghormati ibu bapa.
Allah Subhanahu wa ta’ala. menjelaskan bahawa kedudukan atau tempoh tiga waktu yang wajib dijaga ini disebabkan ruang untuk mereka mendedahkan aurat agak tinggi. Oleh itu untuk menjaga aurat dan kehormatan diri mereka, anak-anak sewajarnya diajar akan adab-adab meminta izin terlebih dahulu. Tiga waktu yang dimaksudkan di atas iaitu:

1. Sebelum solat Subuh Waktu ini ialah waktu ketika ibu bapa kemungkinan sedang tidur. Atau ketika ini juga kemungkinan adalah waktu ibu bapa sedang bangun dari tidur. Justeru anak-anak harus diajar agar mengetuk pintu bilik ibu bapa sebelum masuk.

Hal ini kerana waktu inilah kemungkinan waktu-waktu `persendirian' bagi ibu bapa. Mungkin ketika itu peratusan aurat mereka terdedah sangat tinggi. Oleh itu anak-anak dilarang mengganggu ibu bapa.

2. Sekitar sebelum waktu Zuhur Waktu Zuhur ini juga disebut sebagai waktu `Qailulah' iaitu antara waktu yang disunatkan untuk tidur sebentar.Ketika ini kemungkinan ibu bapa sedang berehat atau kemungkinan sedang tidur atau bersiap-siap untuk menunaikan solat Zuhur.
Justeru itu anak-anak sewajarnya diajar adab meminta izin sebelum masuk ke dalam bilik ibu bapa mengelakkan aurat ibu bapa terdedah kepada anak-anak.

3. Selepas Isyak Waktu-waktu seperti ini biasanya ibu bapa sedang bersiap-siap untuk tidur. Atau kemungkinan salah seorang daripada mereka sedang berehat, bersantai atau tidur di dalam bilik. Anak-anak sewajarnya diajar supaya meminta izin terlebih dahulu sebelum masuk supaya kehormatan ibu bapa terpelihara.


Tegasnya bahawa gerak laku yang diatur oleh Allah Subhanahu wa ta’ala. melalui adab meminta izin ini menjelaskan kepada kita betapa Islam sangat menitikberatkan pendidikan atau latihan yang bersifat dalaman melalui pembentukan akhlak dan peribadi anak-anak sebelum mereka berhadapan dengan masyarakat luar.Hal ini kerana, waktu-waktu yang disebutkan di atas tidak terhad hanya kepada ruang dalaman rumah kita sahaja, malah ia merangkumi etika kejiranan yang melibatkan komuniti di luar rumah kita.Waktu yang disusun oleh Allah Subhanahu wa ta’ala. itu juga mengandungi hikmah yang tersendiri, yang sebenarnya mendidik ibu bapa dan anak-anak agar tidak bertamu ke rumah jiran tetangga atau sahabat handai yang boleh mengganggu ketenteraman dan waktu rehat mereka.

Selain daripada perlakuan anak-anak dalam menjaga adab-adab tersebut, pemeliharaan aurat juga wajar dipraktikkan oleh Ibu bapa sendiri melalui konsep `Kepimpinan Melalui Teladan'.Jika anak-anak yang masih kecil pun harus diatur dan dididik dengan adab-adab yang melindungi maruah dan aurat ibu bapa, maka ibu bapa juga seharusnya menjaga penampilan diri mereka melalui etika pakaian yang bersesuaian agar lebih bersopan dan menepati syarak terutama di hadapan anak-anak.

Berpakaian secara sopan ini merupakan suatu disiplin yang cukup penting dalam Islam, yang boleh menghindari sesebuah keluarga itu daripada berlakunya insiden yang tidak baik.
Memisahkan tempat tidur antara anak lelaki dan anak perempuan adalah salah satu daripada sunah dan etika yang digariskan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. untuk memelihara aurat anak-anak dan membentuk adab mereka dengan akhlak yang sempurna.

Pembahagian struktur ini telah disusun oleh Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam. dalam sebuah hadisnya yang bermaksud:

Perintahkanlah anak-anak kamu supaya menunaikan solat apabila usia mereka tujuh tahun. Apabila usianya 10 tahun pukullah mereka seandainya mereka ingkar, dan pisahkanlah tempat tidur mereka (antara anak lelaki dan perempuan) . (Riwayat Abu Daud) 

Untuk mengelak rumah menjadi punca kepada berputiknya unsur-unsur maksiat dan gejala negatif, Islam telah menutup ruang atau benih-benih yang boleh membawa gejala tersebut.

Pertama sekali, Islam telah menyusun struktur dalaman sebuah rumah. Rumah yang baik sekurang-kurangnya mengandungi tiga buah bilik tidur secara berasingan, iaitu sebuah bilik untuk ibu bapa dan dua buah bilik yang memisahkan antara anak-anak lelaki dan anak-anak perempuan.

Hal ini sebenarnya berhubung kait dengan faktor perkembangan seksologi anak-anak. Biasanya ia bermula apabila mereka mencapai tahap kematangan kemudian berlakunya beberapa perubahan terutama dari segi fizikal mereka.

Ia biasanya bermula dalam lingkungan umur 10 tahun yang membabitkan beberapa perubahan
hormon dalam tubuh badan seseorang.Perkembangan jantina ini - dalam Islam ia disebut sebagai peringkat umur baligh - biasanya akan memberi kesan kepada emosi dan ragam mereka sehingga mendorong sikap dan tindakan `ingin tahu' mereka. Sudah menjadi lumrah, remaja mudah terpedaya dan ingin mnecuba sesuatu yang baru. Mereka juga pantang dicabar, pasti menyahut cabaran itu walaupun mengetahui risiko dan bahaya yang bakal ditempuhi.

Maka di sinilah letaknya hikmah di sebalik gesaan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. supaya ibu bapa memisahkan bilik tidur anak-anak lelaki dan anak perempuan ketika umur mereka 10 tahun supaya aurat mereka terpelihara dan tidak timbul sebarang masalah yang boleh mencemarkan kesucian agama dan keturunan mereka.

Senario kegawatan akhlak remaja Islam dan yang berlaku dewasa ini boleh diatasi sekiranya ibu
bapa menjaga keluarganya dengan adab-adab berdasarkan sunah dan syariat yang telah diatur oleh Islam.

Hal ini dinyatakan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala. melalui firman-Nya yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu; Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya) mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. (At-Tahrim: 6) 
Adab-adab seorang anak tehadap ibu bapa ialah :

1. hendaklah ia mendengar dan mengikuti segala perkataan dan perintah ibu bapa.
2. hendaklah ia berdiri ketika ibubapanya berdiri kerana menghormatinya.
3. hendaklah ia menjunjung segala perintah kedua-duanya.
4. jangan ia berjalan dihadapan keduanya.
5. janganlah ia mengangkat suara lebih tinggi daripada suara keduanya.
6. hendaklah ia memperkenankan panggilan keduanya.
7. hendaklah ia sentiasa menuntut keredhaan keduanya
8. hendaklah ia bersikap tawadhuk kepada keduanya
9. jangan ia menyebut-nyebut jasanya kepada kedua-duanya dan jangan pula ia menyebut sebarang perkhitmatannya bagi keduanya.
10. janganlah ia melihat kepada keduanya dengan pandangan penghinaan.
11. janganlah ia memasamkan mukanya di hadapan keduanya
12. janganlah ia musafir kecuali setelah mendapat izin daripada keduanya.

LANGKAH-LANGKAH MENGATASI MASALAH SOSIAL REMAJA
PERBAIKILAH DIRI KAMU DAN SURUHLAH ORANG LAIN

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berda'wah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam, dan menyuruh berbuat segala yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) . Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya (Surah Ali-Imran : 104) 
Dan (ingatlah wahai Muhammad) , ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman) : Janganlah kamu menyembah melainkan Allah dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat. Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil dari kamu; dan sememangnya kamu orang-orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya. (surah Al-Baqarah ; Ayat 85) 

Antara faktor-faktor yang menyumbang kepada keruntuhan akhlak remaja adalah faktor penolakan dan penarikan. Penolakan bermaksud perihal di dalam rumah yang menolak remaja untuk keluar dan mencari hiburan diluar. Kebanyakan remaja akan mempunyai akhlak yang baik sekiranya suasana di dalm rumah yang hamoni. Mustahil akhlak remaja tersebut boleh runtuh didalam rumah sendiri yang harmoni. Jadi faktor penolakan ini menolak remaja dari kekal didalam rumah. Antara faktor ini adalah hubungan renggang antara ibu dan bapa, kehidupan terabai dek kerana ibu bapa sibuk mencari wang ringgit, akhlak ibu bapa itu sendiri yang teruk seterusnya mendorong anak-anak manjadikan mereka contoh dan beberapa factor-faktor lain.
Kemudian ada faktor penarikan. Elemen di luar rumah yang menarik remaja untuk keluar dan terjerumus kedalam bencana keruntuhan akhlak. Element ini dengan mudah boleh disenaraikan, seperti rakan sebaya, teknologi yang semakin moden, cabaran, keseronokan, dadah, motor, dan macam-macam lagi.

Bagi mengatasi masalah sosial remaja, semua pihak perlu memainkan peranan penting. Ibu bapa merupakan pihak yang dekat dengan anak-anak. Mereka perlu meluangkan masa untuk anank-anak. Masa yang terluang pada hujung minggu boleh diisi dengan beriadah bersama keluarga.Mereka lebih sibuk mencari rezeki dan nafkah sehingga melupakan tanggungjawab terhadap anak-anak. Anak-anak perlukan perhatian daripada ibu bapa. Ibu bapa perlu mengetahui pergerakan dan perkembangan anak-anak. Ini bukan bermakna ibu bapa perlu mengongkong, anak- anak akan lebih agresif jika ibu bapa berbuat demikian. Suasana harmoni di dalam rumah turut membantu anak-anak agar berasa selesa dan selamat. Walaupun di dalam rumah, batas-batas aurat perlu dijaga. Hal ini kerana, bagi menghindari maksiat yang terjadi dari dalam rumah.

Selain itu, peranan kawan-kawan amat penting kerana mereka yang paling akrab dan memahami masalah yang dialami oleh anak-anak. Anak-anak lebih suka meluahkan masalah kepada rakan-rakan sama ada masalah tentang keluarga, kewangan, mahupun perasaan. Rakan-rakan perlu memberi nasihat yang positif dan membina agar tidak membuatkan anak-anak melakukan sesuatu yang tidak elok.Oleh itu rakan yang memberi impak negetif perlu dihindari agar tidak mudah terpengaruh.

Peranan institusi pendidikan juga perlu memainkan peranan penting. Di sekolah para pengajar perlu peka terhadap anak murid. Kebelakangan ini masalah sosial remaja berlaku di sekolah kerana kemaksiatan yang sering dilakukan di dalam kawasan sekolah. jika terdapat sebarang masalah dan kemusykilan, pihak sekolah perlu memaklumkan kepada ibu bapa. Para pelajar perlu membatasi pergaulan antara lelaki dan perempuan agar mereka tidak melakukan perkara yang tidak senonoh.

Malahan, pihak berkuasa juga perlu memainkan peranan yang sangat penting. Pihak jabatan agama islam bagi setiap negeri perlu mengambil tindakan tegas kepada remaja yang melakukan kemaksiatan seperti berkhalwat, berzina, bersekududukan, minum arak, dan sebagainya. Hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan oleh mereka perlu dijalankan agar dapat memberi pengajaran kepada mereka dan orang lain. Mereka ini perlu diberikan kaunseling bagi membina jati diri dan memberikan infomasi tentang kesan dan natijah yang dihadapi sekiranya melakukan sedemikian. Perkara seperti ini bukan sahaja memberi kesan kepada diri remaja itu sendiri, malah turut memberikan kesan kepada nama baik keluarga, agama, bangsa dan negara. Kebanyakan masyarakat tidak mematuhi dan mengabaikan peraturan yang telah ditetapkan. Kita dengan sewenangnya melanggari peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan. Dalam sebuah negara yang berdaulat sudah sedia ada segala bentuk peraturan yang ditetapkan sebagai menjaga dan menjamin kesejahteraan kita namun kita telah mengabaikan peraturan-peraturan ini. Begitu juga dalam agama Islam sendiri terdapat peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala namun kita telah mengabaikannya.

Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam “Aku tinggal kepada kamu DUA perkara yang jika kamu mengamalkannya kamu tidak akan sesat selama-lamanya. Dua perkara itu ialah Al-Quran dan Sunnahku.”
Jika kita bersungguh-sungguh beramal dengan segala pesanan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . nescaya kita umat Islam hari ini tidak akan jadi begini tercabar dan terjatuh akhlaknya.

..............................................................
Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
Malaysia
013-4006206
011-1070-4212
04-988-2701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
abdazizharjin.blogspot.com