Mendidik anak-anak supaya taat akan syariah.

Oleh: Siti Nazihah binti Sarpin

Menjadi ibu bapa pada zaman globalisasi kini bukan suatu tugas yang mudah. Tambahan lagi ibu bapa kini tidak hanya mengharapkan anak-anak mereka sekadar menjadi anak yang pintar dan cemerlang, malahan juga menjadi anak yang taat dan soleh. Menyerahkan sepenuhnya tugas mendidik kepada institusi pendidikan masih tidak mencukupi. Mendidik sendiri dan membatasi pergaulan di rumah juga tidak mungkin. Manakala membiarkan anak-anak untuk bergaul dengan rakan sebaya mereka pula adalah amat merbahaya. Jadi, bagaimana agaknya, untuk ibu bapa pada zaman ini yang bijak dan arif untuk menjadikan anak-anak mereka taat dan patuh kepada syariah Islam? Terdapat beberapa cara untuk menjadikan anak-anak taat dan patuh kepada syariah Islam.

1.Mengasah akal anak-anak untuk berfikir yang benar.
Hampir setiap ibu bapa mengeluh akan kesukaran untuk mendidik anak-anak zaman globalisasi ini. Bukan sahaja anak-anak zaman siber yang lebih berani dan agak sukar diatur, tetapi juga tentangan daripada arus globalisasi, informasi dan teknologi yang turut memberi impak yang besar dalam mewarnai sikap dan tingkah laku anak-anak. Ibu bapa selalu mengomel bahawa anak-anak zaman kini berbeza dengan anak-anak zaman dahulu. Pada mereka, anak-anak zaman dahulu sangat takut dan segan dengan ibu bapa dan guru. Berlainan pula dengan anak-anak zaman sekarang yang berani membantah dan sukar untuk diarah. Ada sahaja alasan mereka. Contohnya apabila ibu bapa menyuruh mereka solat. Sudah banyak kali para ibu memarahi, bahkan dengan menengking dan mengancam supaya mematikan televisyen, dan segera solat. Tetapi, dalam masa yang sama, ibu-ibu enggan untuk mematikan televisyen kerana ingin menonton telenovela atau sinetron kesayangan mereka. Hal ini telah mengelirukan dan membingungkan anak-anak. Anak-anak sekarang pandai menjawab dan berdebat untuk menolak perintah atau nasihat daripada ibu bapa atau guru mereka mungin akan dianggap sebagai degil atau sukar dididik. Sebenarnya, perkara itu terjadi mungkin kerana kecerdasan atau sikap ingin tahunya yang membuatkan mereka bertanya atau menjawab. Tidak secara terus mereka menurut dan diam (mungkin kerana takut) seperti anak- anak zaman dahulu.dalam persoalan ini, ibu bapa haruslah mempertimbangkan dua perkara iaitu, pertama, memberikan informasi-informasi yang benar iaitu informasi yang bersumberkan daripada ajaran Islam. Informasi yang diberikan hendaklah meliputi semua hal yang bersangkutan dengan rukun Islam, rukan Iman, ilmu tauhid, feqah, dan semua perkara yang bersangkut-paut dengan ajaran dan syariah Islam. Cara dan penyampaian ibu bapa mestilah bersesuaian dengan tahap IQ anak tersebut. Yang penting ialah meransang akal anak-anak untuk menggunakan akalnya untuk berfikir yang benar. Pada tahap ini, ibu bapa dituntut supaya bersabar dan mengajar anak-anak dengan penuh kasih sayang. Adalah mustahil untuk anak-anak memahami pelajaran dengan sekali ajar sahaja. Contohnya dalam hal solat, anak-anak tidak boleh terus dimarah jika tidak solat. Mereka harus diberi maklumat yang boleh meransang mereka supaya tahu mengapa mereka perlu bersolat. Ibu bapa boleh mengajak anak-anak supaya bersolat berjemaah sama ada di rumah ataupun di masjid secara berterusan. Melalui pendedahan tersebut, anak-anak mengetahui bahawa ramai orang Muslim melakukan solat dan sebagai seorang Muslim, wajib bagi mereka untuk mendirikan solat. Perkara yang kedua ialah ibu bapa sebagai contoh atau idola buat anak-anak. Hal ini untuk menjaga kepercayaan anak-anak terhadap ibu bapa. Hal ini kerana ibu bapa hanya bijak mengomel tetapi tidak bijak dalam memberikan contoh terhadap anak-anak. Memahami persoalan yang berpandukan informasi yang benar adalah salah satu cara untuk mengasah ketajaman akal anak-anak. Hal ini kerana, apabila anak-anak sudah dewasa, ibu bapa akan berharap supaya anak-anak mempunyai prinsip hidup yang tegas dan benar, bukan hanya menjadi anak-anak yang mudah terpengaruh dengan trend hidup bebas seperti budaya Barat.

2.Tanam akidah dan syariah dalam diri anak-anak sejak dari kecil.
Menanam akidah yang kuat dan kukuh adalah tugas utama ibu bapa. Ibu bapa yang akan mempengaruhi wujud dan berkembangnya sesuatu agama dalam diri anak-anak. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi. (riwayat al-Bukhari). Tujuan penanaman akidah dalam diri anak-anak adalah supaya anak-anak mengenal dengan betul mengenai Allah. Sejak bayi masih di dalam kandungan lagi, ibu boleh bermula dengan bersenandung mengagungkan asma Allah. Begitu juga selepas anak itu lahir, ibu bapa mempunyai kesempatan untuk membiasakan anak tersebut mendengar ayat-ayat al-Quran. Pada usia yang masih muda, anak-anak harus didedahkan bahawa dirinya, ibu bapanya, seluruh keluarganya, manusia, dunia dan seluruh isinya diciptakan oleh Allah s.w.t. Itu sebabnya mengapa manusia harus beribadah dan taat kepada Allah. Dari awal, anak-anak didedahkan dengan asma dan sifat-sifat Allah. Dengan begitu, anak-anak dapat mengetahui betapa Allah Maha Besar, Maha Perkasa, Maha Kasih, Maha Melihat, Maha Mendengar dan seterusnya. Jika anak boleh memahaminya dengan baik, insya-Allah, akan timbul kesedaran pada anak —anak untuk sentiasa mengagungkan Allah dan bergantung hanya kepada Allah. Selebihnya, ibu bapa berharap agar tumbuh benih kecintaan kepada Allah, cinta yang akan mendorong anak-anak supaya suka melakukan amalan-amalan yang disukai oleh Allah. Penanaman akidah pada anak-anak harus disusuli dengan pengenalan hukum-hukum syariah secara berperingkat-peringkat. Proses pembelajaran boleh dimulai dengan motivasi anak supaya senang melakukan hal-hal yang dicintai oleh Allah, misalnya mengajak anak-anak bersolat, berdoa dan membaca doa bersama. Yang paling penting ialah menanamkan akhlak al-qarimah seperti berbakti kepada ibu bapa, santun dan sayang sesama manusia, bersikap jujur, berani kerana benar, tidak bohong, sabar, tekun bekerja, bersederhana dan lain-lain sifat mahmudah. Jangan lupa mengajarkan semua itu untuk mendapatkan redha Allah, bukan untuk mendapatkan pujian atau habuan duniawi.

3.Kerjasama ibu bapa.
Anak akan lebih mudah memahami dan mengamalkan ajaran jika anak tersebuh melihat contoh yang nyata pada ibu bapanya. Ibu bapa ialah guru dan orang yang terdekat bagi anak yang harus menjadi tauladan. Kerana anak-anak, ibu bapa dituntut untuk bekerja keras untuk memberi contoh dalam memelihara ketaatan serta ketekunan dalam beribadah dan beramal soleh. Insya-Allah anak-anak mudah diingatkan secara sukarela. Keberhasilan mengajar anak-anak dalam keluarga memerlukan kerjasama yang jitu daripada ibu bapa. Jika ibu dan bapa mempunyai target dan cara yang berbeza dalam mendidik anak, pasti anak akan bingung bahkan anak mungkin akan menyalahkan ibu bapa atas kesalahan yang dilakukannya. Contohnya, anak-anak yang sedang mencari alasan untuk tidak mendirikan solat. Bapa memaksanya untuk mendirikan solat, manakala ibu pula membelanya. Dalam keadaan sedemikian, jangan menyalahkan anak apabila mereka mengatakan, “Kata ibu tidak mengapa tidak solat jika sakit. Saya kan batuk.”

4.Peranan keluarga dan masyarakat.
Pendidikan yang diberikan oleh ibu bapa masih lagi tidak cukup untuk anak-anak menjadi manusia yang berperibadi Islam. Anak-anak juga memerlukan keadaan sosial dengan tempat beraktiviti, baik di sekolah, sekitar rumah mahupun masyarakat luar. Pada peringkat inilah, masyarakat memainkan peranan penting dalam pendidikan anak. Masyarakat yang menganut nilai-nilai, aturan dan pemikiran Islam, seperti yang dianut oleh sesebuah keluarga Muslim, akan mampu menjadikan anak-anak sebagai seorang Muslim yang sejati. Masyarakat sekarang dipengaruhi oleh nilai dan pemikiran materialisme, sekularisme, permisivisme, hedonisme dan liberisme merupakan tentangan bagi keluarga Muslim. Hal ini menjadikan anak-anak hidup dalam sebuah lingkungan yang membuatkannya berada dalam keadaan dilemma. Di suatu sudut, anak-anak mendapat pengajaran Islam dari keluarga, dari suatu sudut yang lain pula anak-anak bergaul dalam lingkungan yang penuh dengan nilai yang bertentangan dengan Islam. Hal ini sedikit-sebanyak akan mempengaruhi keperibadian anak-anak.


Apabila telah tampak tanda-tanda baligh pada seorang anak, maka selayaknya dia diberikan perhatian yang serius dan pengawasan yang cukup. Sesungguhnya hatinya bagaikan bening mutiara yang siap untuk menerima segala sesuatu yang bakal mewarnainya. Jika dibiasakan dengan hal-
hal yang baik, maka ia akan berkembang dengan kebaikan, sehingga ibu bapa dan gurunya ikut serta memperoleh pahala. Sebaliknya, jika ia dibiasakan dengan hal-hal buruk, maka ia akan membesar dengan keburukan itu. Maka ibu bapa dan gurunya juga ikut memikul dosa karananya.

Oleh karana itu, tidak selayaknya ibu bapa dan guru melalaikan tanggungjawab yang besar ini dengan melalaikan pendidikan yang baik dan penanaman adab yang baik terhadapnya sebagai sebahagian daripada haknya. Di antara adab-adab dalam mendidik anak adalah seperti berikut:

1. Hendaknya anak dididik agar makan dengan tangan kanan, membaca bismalah, memulai dengan yang paling dekat dengannya dan tidak mendahului makan sebelum yang lainnya (yang lebih tua). Kemudian cegahlah ia dari memandang makanan dan orang yang sedang makan.

2. Perintahkan ia agar tidak tergesa-gesa semasa makan. Hendaklah mengunyah dengan baik dan jangan memasukkan makanan ke dalam mulut sebelum habis yang dimulut. Suruh ia agar berhati-hati dan jangan sampai mengotori pakaian.

3. Hendaknya dilatih untuk tidak bermewah-mewah dalam makan supaya tidak menimbulkan kesan bahawa makan harus dengannya. Juga diajari agar tidak terlalu banyak makan dan memberi pujian kepada anak yang demikian. Hal ini untuk mencegah dari kebiasaan buruk, iaitu hanya mementingkan makanan sahaja.

4. Ditanamkan kepadanya agar mendahulukan orang lain dalam hal makanan dan dilatih dengan makanan sederhana, sehingga tidak terlalu suka dengan makanan yang enak-enak yang pada akhirnya akan sukar bagi dia untuk membuang tabiat begitu.

5. Sangat disukai jika ia memakai pakaian berwarna putih, bukan warna-warni dan bukan dari sutera. Dan ditegaskan bahawa sutera itu hanya untuk kaum wanita.

6. Selayaknya anak dijaga dari bergaul dengan anak-anak yang biasa bermegah-megahan dan bersikap angkuh. Jika hal ini dibiarkan maka boleh jadi ketika dewasa ia akan berakhlak demikian. Pergaulan yang buruk akan memberi pengaruh kepada anak. Boleh jadi setelah dewasa ia memiliki akhlak buruk, seperti: Suka berdusta, mengadu domba, keras kepala, merasa hebat dan lain-lain, sebagai akibat pergaulan yang salah semasa kecil. Yang demikian ini, dapat dicegah dengan memberikan pendidikan adab yang sebaik mungkin kepada mereka.

7. Harus ditanamkan rasa cinta untuk membaca al Qur'an dan buku-buku, terutama di perpustakaan. Membaca al Qur'an dengan tafsirnya, hadith-hadith Nabi dan juga pelajaran fekah dan lain-lain. Dia juga harus dibiasakan menghafal nasihat-nasihat yang baik, sejarah orang-orang soleh dan kaum zuhud, mengasah jiwanya agar sentiasa mencintai dan meneladani mereka. Dia juga harus diberitahu tentang buku dan faham Asy'ariyah, Mu'tazilah, Rafidhah dan juga kelompok-
kelompok bid'ah lainnya agar tidak terjerumus ke dalamnya. Demikian pula aliran-aliran sesat yang banyak berkembang di daerah sekitar, sesuai dengan tahap kemampuan anak.

8. Biasakan ia untuk menulis indah (khath) dan mengahafal syair-syair tentang kezuhudan dan akhlak mulia. Itu semua menunjukkan kesempurnaan sifat dan merupakan hiasan yang indah.

9. Jika anak melakukan perbuatan terpuji dan akhlak mulia jangan segan-segan memujinya atau memberi penghargaan yang dapat membahagiakannya. Jika suatu kali melakukan kesalahan, hendaknya jangan disebarkan di hadapan orang lain sambil menasihatinya bahawa apa yang
dilakukannya tidak baik.

10. Jika ia mengulangi perbuatan buruk itu, maka hendaknya dimarahi di tempat yang terpisah dan tunjukkan bahagian kesalahannya. Katakan kepadanya jika terus melakukan itu, maka orang-orang akan membenci dan meremehkannya. Namun jangan terlalu sering atau mudah memarahi, sebab yang demikian akan menjadikannya kebal dan tidak terpengaruh lagi dengan kemarahan.

11. Seorang ayah hendaknya menjaga kewibawaan dalam berkomunikasi dengan anak. Jangan menjelek-jelekkan atau bicara kasar, kecuali pada saat tertentu. Sedangkan seorang ibu hendaklah menciptakan perasaan hormat dan segan terhadap ayah dan memperingatkan anak-anak bahawa jika berbuat buruk maka akan mendapat ancaman dan kemarahan dari ayah.

12. Hendaknya dicegah dari tidur di siang hari karana akan menyebabkan rasa malas (kecuali benar-benar perlu). Sebaliknya, di malam hari jika sudah ingin tidur, maka biarkan ia tidur (jangan paksa dengan aktiviti tertentu) sebab dapat menimbulkan kebosanan dan melemahkan keadaan badan.

13. Jangan sediakan untuknya tempat tidur yang mewah dan empuk karana mengakibatkan badan menjadi terlena dan hanyut dalam kenikmatan. Ini dapat mengakibatkan sendi-sendi menjadi kaku kerana terlalu lama tidur dan kurang bergerak.

14. Jangan dibiasakan melakukan sesuatu dengan sembunyi-sembunyi, sebab ketika ia melakukannya, tidak lain karana adanya keyakinan bahawa itu tidak baik.

15. Biasakan agar anak melakukan senaman di waktu pagi agar tidak timbul rasa malas. Jika memiliki barangan memanah (atau menembak), menunggang kuda, berenang, maka tidak mengapa
menyibukkan diri dengan kegiatan itu.

16. Melarang anak dari membanggakan apa yang dimiliki oleh ibu bapanya, pakaian atau makanannya di hadapan teman sepermainan. Biasakan ia bersikap tawadhu', lemah lembut dan menghormati rakan-rakannnya.

17. Semaikan dalam diri anak (terutama laki-laki) agar tidak terlalu mencintai emas dan perak serta tamak terhadap keduanya. Tanamkan rasa takut akan bahaya mencintai emas dan perak secara berlebihan, melebihi rasa takut terhadap ular atau kala jengking.

18. Cegahlah ia dari mengambil sesuatu milik temannya, baik dari keluarga yang berada, sebab itu merupakan kehinaan dan merendahkan maruah, maupun dari yang fakir, sebab itu adalah sikap
tamak atau rakus. Sebaliknya, ajarkan ia untuk memberi karana itu adalah perbuatan mulia dan terhormat.

19. Jauhkan dia dari kebiasaan meludah di tengah majlis atau tempat umum, membuang hingus ketika ada orang lain, membelakangi sesama muslim dan banyak menguap.

20. Ajari ia duduk di lantai dengan bertekuk lutut atau dengan menegakkan kaki kanan dan menghamparkan yang kiri atau duduk dengan memeluk kedua punggung kaki dengan posisi kedua lutut tegak. Demikian cara-cara duduk yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w.

21. Mencegahnya dari banyak berbicara, kecuali yang bermanfaat atau berzikir kepada Allah.

22. Cegahlah anak dari banyak bersumpah, baik sumpahnya benar atau tipu agar hal tersebut tidak menjadi kebiasaan.

23. Dia juga harus dicegah dari perkataan keji dan sia-sia seperti melaknat atau mencaci maki. Juga dicegah dari bergaul dengan orang-orang yang suka melakukan hal itu.

24. Ajarkanlah ia untuk memiliki jiwa berani dan sabar dalam situasi yang sukar. Pujilah ia jika bersikap demikian, sebab pujian akan mendorongnya untuk membiasakan hal tersebut.

25. Sebaiknya anak diberi mainan atau hiburan yang positif untuk melepaskan kepenatan atau refreshing, setelah selesai belajar, membaca di perpustakaan atau melakukan kegiatan lain.

26. Jika anak telah mencapai usia tujuh tahun maka harus diperintahkan untuk solat dan jangan sampai dibiarkan meninggalkan bersuci (wudhu) sebelumnya. Cegahlah ia dari berdusta dan berkhianat. Dan jika telah baligh, maka bebankan kepadanya perintah- perintah.

27. Biasakan anak-anak untuk bersikap taat kepada orang tua, guru, dan secara umum kepada orang yang lebih tua. Ajarkan agar memandang mereka dengan penuh hormat. Dan seboleh mungkin
mengelak dari bermain-main di sisi mereka (mengganggu mereka).