Tajuk: Amalan Yang Menghapuskan Dosa

Sesungguhya sebagai manusia biasa, kita tidak akan terlepas daripada melakukan kesalahan dan dosa. Akan tetapi, sebagai hamba Allah kita berhak untuk memohon keampunan daripadaNya dan menjadi kewajipan ke atas kita untuk menjauhkan diri daripada melakukan dosa dan maksiat berulang-ulang kali kerana dibimbangi Allah akan menutup pintu hati kita daripada memohon keampunan dan bertaubat kepadaNya. Dbimbangi juga kita akan berterusan melakukan dosa sehingga tidak nampak lagi kebenaran.
Dosa dan maksiat yang dilakukan secara berterusan akan menggelapkan hati dan merosakkan iman sehingga tidak akan Nampak kebenaran dan tidak boleh menerimanya. Sabda Rasullullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam yang bermaksud : “ Setiap anak Adam tidak akan terlepas daripada melakukan dosa sebaik-baik orang yang berdosa adalah orang-orang yang bertaubat. ”
Antara amalan-amalan untuk menghapuskan dosa dan maksiat yang kita lakukan ialah:

1- Bertaubat, kerana Allah sahaja yang berhak untuk menerima taubat dan mengampun segala dosa-dosa hambaNya yang melakukan kesalahan

Bertaubat kepada Allah adalah wajib kerana kita adalah manusia biasa yang sering
melakukan kesalahan dan tidak terpelihara daripada melakukan dosa. Kita bukannya nabi dan rasul yang maksum iaitu terpelihara daripada melakukan dosa. Namun demikian Nabi Muhammad walaupun dijamin oleh Allah akan dimasukkan ke dalam syurga dan terpelihara daripada melakukan dosa serta baginda juga adalah seorang rasul kepada umat manusia akhir zaman, baginda tetap juga beristighfar dan memohon ampun daripada Allah. Begitulah kemuliaan peribadi Rasullullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam yang sentiasa mengerjakan amal kebaikan dan ibadah demi mengharapkan keredhaan Allah. Baginda ingin melahirkan rasa syukur kepada Allah di atas segala nikmat kurniaNya. Bagaimana pula dengan diri kita yang sudah tentu sering melakukan dosa san maksiat. Apakah tidak takut pada azab Allah di akhirat nanti? Sesungguhnya banyak lagi persoalan yang perlu kita fikirkan bagi menjamin ehidupan yang lebih baik sama ada di dunia dan akhirat. Lantaran itu, bertaubatlah kepada Allah dengan bersunguh-sungguh dan menyesal dengan penuh keikhlasan terhadap segala kesalahan yang kita lakukan.

2- Sentiasa mengucapkan kalimah istighfar

Kita hendaklah sentiasa mengucapkan istighfar iaitu memohon keampunan kepada
Allah dengan sentiasa melafazkan zikir. Membasahi lidah dengan amalan zikir pada setiap masa dan menjauhi lidah daripada mengucapkan kata-kata keji dan tercela kerana perbuatan itu akan menambahkan lagi beban dosa dan maksiat yang kita yang kita tanggung. Sesungguhnya Allah menjadikan dunia ini sebagai tempat ujian bagi menguji siapa antara kita termasuk dalam golongan yang beriman dan tahan diuji. Dan Allah menjadikan syaitan, hawa nafsu dan segala macam bentuk yang terdapat di dunia ini sebagai musuh bagi menguji keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah. Walau bagaimanapun Allah menyediakan pula kepada kita senjata bagi menentang dan melawan musuh-musuh tersebut. Senjata yang dimaksudkan ialah al-Quran dan petunjuk daripada RasulNya. Dengan yang demikian, manusia diberikan bimbingan dan ilmu pengetahuan bagi menentang musuh-musuh tersebut. Dan ketahuilah bahawa orang-orang yang beriman dan taat kepada perintah Allah dan rasulNya akan memiliki kekuatan untuk menentang musuh-musuhnya.

3- Sentiasa istiqamah melakukan amalan kebaikan dan kebajikan

Sudah menjadi tugas dan tanggungjawab kita untuk melakukan kebaikan dan
kebajikan kerana dengan berbuat baik kepada sesama manusia dan makhluk-makhluk lain yang terdapat dalam alam yang fana ini akan membolehkan kita menerima ganjaran pahala daripada Allah dan setiap kebaikan yang kita lakukan itu akan mambantu kita untuk menikmati pembalasan yang baik juga di akhirat kelak. Istiqamah melakukan kebaikan bermaksud kita berterusan melakukan tanpa henti. sesuatu Hatim Al-Asham pernah berkata :

• Orang mukmin sering sibuk merumuskan kebaikan.
• Orang munafik sering sibuk dengan kelobaan dan angan-angan.
• Orang tidak akan menggantunkan nasibnya kepada manusia melainkan kepada Allah.
• Orang munafik menggantungkan nasibnya kepada manusia dan tidak kepada Allah.
• Orang mukmin sentiasa merasa aman ketika berhubungan sesame manusia dan dengan sesiapa sahaja dan hanya takut kepada Allah.
• Orang munafik sentiasa berada dalam keadaan cemas ketika berhubungan dengan sesiapa sahaja.

4- Menjauhkan diri daripada melakukan dosa besar dan dosa kecil

Setiap makhluk yang bernama manusia tidak akan terlepas daripada melakukan dosa.
Tidak ada manusia yang dirinya bersih daripada dosa kerana kita adalah manusia biasa.
Dalam mendefinisikan dosa-dosa besar, para ulama menggariskan beberapa pendapat antaranya : Dosa besar ialah segala perbuatan yang menjadi larangan Allah yang terdapat di dalam Al-Quran tentang pengharaman tersebut atau sesuatu perbuatan yang wajib dihukum, atau sesuatu perbuatan yang menganduni ancaman seksaan api neraka pada hari kiamat atau kemurkaan daripada Allah atau sesuatu perbuatan yand dikutuk atau mengandungi ancaman keras yang menggambarkan pelakunya sebagai fasik.
Ada ulama mengatakan: “ Bila engkau ingin mengetahui perbezaan antara dosa besar dan dosa kecil maka bandingkanlah kerosakan yang ditimbulkan oleh dosa itu dengan kerosakan-kerosakan yang ditimbulkan oleh dosa besar yang sudah disebut. Bila terdapat kurang nilainya kerosakan daripada kerosakan minimum dosa-dosa besar bererti dosa-dosa kecil dan jika menyamai dosa besar yang paling rendah atau melebihinya maka bererti termasuk dalam dosa besar. ”
Imam Adz-Dzahabi mengatakan bahaawa dosa besar itu ialah “ semua perbuatan yang berat yang dihukum had di dunia seperti membunuh, berzina, mencuri atau diancam dengan azab, yang mendapat kemurkaan Allah semuanya termasuk dalam dosa besar. ”
Ada juga pendapat lain yang mengatakan “ tidak ada dosa besar dengan memohon ampun dan tidak ada dosa kecil bila diteruskan. ”
Dengan lain perkataan dosa besar dapat dihapuskan dengan memohon ampun dan bertaubat kepada Allah. Manakala dosa kecil yang dilakukan akan menjadi dosa besar jika kita berterusan melakukannya dengan tidak memohon ampun kepada Allah. Sesetengah ulama berpendapat bahawa dosa-dosa besar itu terbahagi kepada tujuh jenis dengan bersandarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim bahawa Rasullullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda yang bermaksud :
“ Jauhilah oleh kamu tujuh jenis dosa-dosa besar iaitu menyekutukan Allah, melakukan sihir, membunuh jiwa yang diharamkan kecuali ada alas an yang benar, memakan harta anak yatim, memakan riba, melarikan diri daripada medan peperangan dan menuduh zina terhadap perempuan terhormat dan beriman. ”

5- Melakukan amal soleh dan bertakwa kepada Allah

Sebagai hamba Allah, kita wajib mengabdikan diri hanya kepadaNya. Mengerjakan
amal soleh dan melakukan amal makruf adalah satu tuntutan ke atas diri kita. Dan janganlah kita mati melainkan kita di dalam beragama Islam kerana Islam itulah yang akan dapat menyelamatkan hidup kita didunia dan akhirat. Firman Allah yang bermaksud :
“ Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa kepadaNya dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam. ”
 (Al – Imran:102) 

“ Sesungguhnya orang-orang yang beriaman dan beramal soleh serta meraendah diri kepada Tuhan mereka, mereka itu adalah penghuni-penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya. ”
 (Hud:23) 

6- Berzikir dengan menyebut nama Allah

Melakukan amalan zikir sama ada ketika senang atau susah akan dapat memberi
ketenangan jiwa kepada diri kita. Faedahnya amat banyak dan dengan zikirlah kita dapat mendamaikan jiwa yang sedang keresahan. Zikir adalah penawar paling mujarab bagi umat Islam yang tidak dimiliki oleh orang kafir. Berzikir dengan menyebut nama Allah adalah amalan yang harus dikekalkan dalam kehidupan umat Islam kerana ia akan menjadi penawar bagi hati dan dapat mengubati jiwa yang kedukaan. Zikir mengingati Allah denyebut dan membaca tasbih, tahlil, tahmid, takbir, membaca basmalah dan lain-lain.
Zikir itu bermaksud segala lafaz yang disukai para umat membacanya dan memperbanyakkannya membacanya untuk menghasilkan jalan kea rah mengingati dan mengenangkan Allah seperti yang bermaksud :

“ Maha suci Allah, dan segala puji bagi Allah, tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Allah Maha Besar. ”

Membaca hauqalah iaitu yang bermaksud :

“ Tidak ada upaya untuk menolak sesuatu kemelaratan dan mendatangkan kemanfaatan melainkan dengan Allah. ”

Membaca basmalah iaitu :

“ Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. ”

Membaca istighfar iaitu :

“ Aku mohon ampun kepada Allah yang Maha Besar. ”

Membaca hasbillah iaitu :

“ Cukupkanlah bagiku, aku tidak perlu kepada yang selainNya. Dan Dialah yang sebaik-baik penjaga yang menjaga kemashalatan dan kemanfaatanku. ”


7- Mengerjakan solat lima waktu dan solat sunat

Menunaikan solat sama ada yang wajib atau sunat akan member kelapangan jiwa dan
fikiran kepada kita. Ianya sudah menjadi rahsia umum dan penawar yang tidak ada tolak bandingnya kepada umat Islam. Banyak kebaikan dan keistimewaan yang ada padanya akan tetapi ramai yang lalai daripada mengerjakannya.
Kewajipan solat adalah satu tuntutan yang amat besar ke atas setiap umat Islam yang mengaku beriman kepada Allah. Solat merupakan salah satu daripada rukun Islam. Yang mana tanpa mengerjakan rukun ini, Islam kita tidak akan bermakna malah sesetengah ulama berpendapat mengatakan orang yang meninggalkan solat dengan sengaja boleh menjadi kafir.
Kehidupan kita di dunia harus diseimbangkan dengan ibadah kita kepada Allah. Dunia adalah tempat bagi kita untuk membuat persediaan bagi menghadapi kehidupan akhirat yang kekal.
Islam dibina atas lima perkara : mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, dan menunaikan haji ke baitullah.
Banyak fadhilat dan kelebihan bagi orang yang menjaga solatnya. Antara kelebihannya ialah :

• Solat adalah sumber kejayaan seseorang.
• Solat menjamin kemenangan dan pertolongan daripada Allah Subhanahu wa ta’ala 
• Solat adalah amalan para nabi dan rasul
• Mendapat ganjaran pahala serta pembalasan yang baik pada hari akhirat.
• Solat mencegah dari melakukan kejahatan dan kemungkaran.
• Selamat daripada kehidupan yang sempit di dunia.
• Selamat daripada mendapat seksa kubur.
• Menerima buku catatan amalan dengan tangan kanan di akhirat kelak.
• Melalui titian sirat seperti kilat.
• Masuk syurga tanpa hisab.


8- Memperbanyakkan bacaan selawat ke atas nabi Muhammad SAW

Sebagai tanda kita mengingati dan mengasihi Rasullullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam kita hendaklah
sentiasa berselawat ke atasnya pada setiap hari. Berselawat ke atas nabi adalah juga merupakan perintah Allah. Sekiranya kita sering berselawat ke atas nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam ia akan member banyak kebaikan kepada diri kita sendiri sama ada kebaikan dunia atau akhirat. Sabda Rasullullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . yang bermaksud : “ Orang yang berselawat ke atas aku sebanyak sepuluh kali pagi dan petang akan mendapat syafaatku. ”
Allah telah memberi penghormatan yang amat besar kepada Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam . di mana kemuliaan ini tidak pernah diberikan kepada nabi-nabi terdahulu kerana Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam . adalah penghulu kepada para nabi dan para rasul. Baginda juga merupakan kekasih Allah. Sesungguhnya pada diri Rasullullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . itu terdapat contoh dan ikutan yang baik dan terpuji. Sesiapa yang mengasihi dan mengingatinya hendaklah sentiasa berselawat ke atasnya di samping melakukan amal ibadat yang lain. Dengan izin Allah, kita semua akan mendapat kasih saying daripada Allah Subhanahu wa ta’ala dan mendapat keampunanNya di atas segala dosa dan kesalahan yang kita lakukan.

9- Merasa takut dan gerun dengan azab Allah Subhanahu wa ta’ala 

Hamba yang beriman kepada Allah akan merasa takut dan gerun dengan pembalasan
azab Allah. Mereka tidak akan cuba mendabik dada untuk mencabar kekuasaan Allah malah mereka akan sentiasa merasa kerdil dan memiliki sifat sebagai hamba yang wajib mengabdikan diri kepada Allah. Patuh kepada segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya dengan hati ikhlas dan sentiasaa mengharapkan keredhaan dan pengampunaNya. Firman Allah Subhanahu wa ta’ala yang bermaksud :

“ Sesungguhnya orang-orang yang takut kepada Tuhannya tanpa melihatnya bagi mereka itu pengampunan dan pahala yang besar. ”
 (Al-Mulk:12) 


10- Menghadapi ujian dengan sabar dan redha

Semasa kita hidup di dunia yang fana ini, pasti kita tidak akan sunyi daripada
menghadapi kesulitan dan kepayahan. Musibah yang menimpa kita itu terkadang menguji sejauh mana keimanan kita kepada Allah. Jika kita bersabar dan redha dengan ujian tersebut maka itu adalah lebih baik bagi diri kita kerana di sebalik ujian dan musibah itu tersirat keampunan yang besar di sisi Allah. Musibah yang menimpa orang-orang yang beriman adalah untuk menghapuskan dosa-dosa dan mengangkat darjat. Manakala musibah yang menimpa orang-orang kafir adalah untuk menyeksa mereka. Justeru amat jauh bezanya musibah kepada orang Islam dengan musibah yang menimpa orang-orang kafir. Lantaran itu, sebagai hamba Allah kita hendaklah bersabar dan redha dengan ketentuanNya. Menerima dan menghadapinya dengan hati yang terbuka.
Hamba Allah yang taat dan patuh kepada perintah Allah tidak akan berbangga dengan amalan yang dilakukannya itu. Dia merasa seronok dan berlapang dada dalam mengerjakan kebaikan. Yang diharapkannya adalah keredhaan Allah bukan dengan tujuan untuk mengharapkan pujian daripada makkhluk. Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasullullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . bersabda yang bermaksud :

“ Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah, maka Allah mengujinya dengan musibah ”

Dan dalam sebuah hadis lain daripada Anas bin Malik RA bahawa saya mendengar Rasullullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . bersabda yang bermaksud :

“ Sesungguhnya Allah berfirman : Jika Aku menguji hamba-hambaKu dengan meninggalkan orang yang dicintainya, lalu dia bersabar, maka aku menggantikannya dengan syurga ”

Kesimpulannya, hakikat kejayaan hidup yang sebenarnya bukanlah di dunia ini tetapi ianya adalah kejayaan dan kesejahteraan hidup di akhirat. Terselamat daripada azab api neraka dan hidup bahagia di dalam syurga. Kecelakaan yang sebenarnya adalah apabila kita di akhirat kelak dimasukkan ke dalam neraka dan diharamkan untuk menikmati kesenangan hidup di dalam syurga.
Dosa dan maksiat adalah penyebab utama bagi manusia dimasukkan ke dalam api neraka sedangkan pahala dan amalan baik menjadi penyebab bagi umat manusia untuk menikmati kesenangan hidup di akhirat. Oleh yang demikian, dosa tidak akan terampun melainkan dengan melakukan kebaikan dan mengerjakan amalan kebaikan. Memohon keampunan daripada Allah dengan bertaubat serta mengabdikan diri kepadaNya bukan kepada makhluk. Menjauhi perkara-perkara yang dilarang dan mengerjakan segala perintahNya dengan hati yang tulus ikhlas.

Firman Allah Subhanahu wa ta’ala yang bermaksud : “Mintalah ampun kepada Allah sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang ”

..............................................................
Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
Malaysia
013-4006206
011-1070-4212
04-988-2701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
abdazizharjin.blogspot.com