Setelah meneliti beberapa buah buku, akhirnya saya memilih tajuk “Indahnya syurga” bagi tugasan kali ini. Hal ini kerana saya tertarik dengan pengisian-pengisian buku tersebut tentang syurga iaitu tempat di mana golongan mukmin diletakkan kerana ketaatan mereka kepada Allah dengan melakukan suruhan-suruhan-Nya. Selain itu, terdapat juga pelbagai peristiwa yang boleh dijadikan panduan kepada kita bagi mencapai jalan menuju ke syurga.
Jalan menuju syurga adalah jalan yang hanya diketahui oleh orang-orang tertentu iaitu dari sahabat Rasullullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. atau dari pengikut-pengikut Baginda. Allah Subhanahu wa ta’ala. telah menutup pintu syurga sejak diutusnya Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam. dan Allah tidak membukanya lagi kecuali dengan jalan Baginda.
Allah Subhanahu wa ta’ala. telah mengatakan bahawa barangsiapa yang meyakini bahawa dia boleh masuk syurga selain dari jalan yang dibawa oleh Nabi Muhammad, atau dia meyakini boleh mendapat hidayah selain dari hidayah yang diberikan oleh-Nya melalui Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam., maka dia akan mendapat laknat daripada-Nya di dunia dan akhirat.
Selain itu, Allah juga tidak akan menerima amal kebaikannya walau sebesar zarah sekalipun. Tidak juga berkata-kata kepadanya, tidak memandangnya dan tidak mensucikannya bahkan dia akan mendapat azab yang pedih di akhirat kelak.
Pada suatu hari, seorang lelaki datang menemui Rasullullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. selepas orang-orang Islam memperoleh kemenangan dalam satu peperangan lalu dia beriman dan menjadi pengikut baginda. Harta rampasan daripada perang tersebut kemudiannya diberikan kepada lelaki itu. Namun lelaki itu berkata, “ Bukan kerana ini aku mengikutmu wahai Rasullullah.” Lalu baginda pun bersabda:
“Jika engkau percaya kepada Allah maka Allah akan percaya kepadamu”
Kemudian, dalam sebuah pertempuran dia gugur sebagai para syahid. Dan dalam hal ini, Allah telah pun menyatakan bahawa syurgalah balasan bagi orang-orang yang berjuang di jalan Islam.
Dalam kitab sahih Muslim ada disebutkan bahawa Rabi’ah bin Ka’ab al-Aslami iaitu seorang sahabat yang benar-benar menginginkan syurga berkata, ”Wahai Rasullullah, saya ingin mendampingimu di syurga.” Lalu Rasullullah berkata, “ Tidak ada yang lain? Apakah engkau benar-benar menginginkannya? Apakah tekadmu sudah kuat untuk mengharungi jalan ini?”.
Rabi’ah bin Ka’ab menjawab, “ Tidak, itu sahaja.” Lantas Baginda pun bersabda:
“Kalau begitu, bantulah aku memenuhi keinginanmu dengan cara memperbanyakkan sujud.”
Mengikut sabda ini, dapatlah kita simpulkan bahawa salah satu jalan menuju syurga adalah dengan memperbanyakkan sujud kepada Allah. Sujud merupakan salah satu rukun solat yang juga merupakan cara kita memperhambakan diri kepada Allah yang paling baik. Oleh itu, kita haruslah memperbanyakkan amalan yang melibatkan perlakuan ini iaitu dengan solat-solat wajib serta sunat. Tambahan lagi, dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Muslim ada disebutkan bahawa Rasullullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. berkata kepada Tsauban :
“Engkau harus memperbanyak sujud kepada Allah kerana setiap kali engkau sujud kepada-Nya, maka Allah akan mengangkat darjatmu satu darjat di sisi-nya.”
Ada satu lagi peristiwa di mana Mu’adz bertanya kepada Rasullullah tentang amalan-amalan yang dapat dijadikan pegangan menuju ke syurga sekaligus menjauhkan diri daripada azab neraka. Lalu Baginda pun bersabda:
“Sesungguhnya engkau telah menanyakan satu pertanyaan yang besar dan jawapannya akan menjadi sangat mudah dilaksanakan bagi orang-orang yang dimudahkan Allah untuk melaksanakannya.”
Kemudian Rasullullah menyambung sabda Baginda bagi menjawab pertanyaan Mu’adz:
“Iaitu engkau menyembah Allah Subhanahu wa ta’ala. dan tidak mempersekutukan-Nya sedikit pun., mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan menunaikan ibadah haji di Baitullah sekiranya mampu.”
Perkara-perkara ini termasuklah dalam rukun Islam kita. Dan sebagai seorang muslim rukun Islam ini wajib kita tunaikan tanpa sebarang keraguan dan yakin bahawa Allah adalah satu-satunya Tuhan yang berhak disembah.
Perbicaraan Rasullullah dengan Mu’adz dilanjutkan lagi iaitu baginda bertanya kepada Mu’adz bahawa mahukah dia mengetahui dasar segala sesuatu, tiang dan intisarinya? Lalu baginda menjawab Islamlah jawapan bagi dasar segala sesuatu, tiangnya adalah solat dan intisarinya adalah jihad fi sabilillah.
Nah! Lihatlah bahawa betapa pentingnya keislaman seseorang bagi menuju ke syurga. Islam adalah agama yang tulus serta universal. Namun, masih ramai manusia yang beranggapan bahawa Islam itu membebankan dan tidak sesuai diguna pakai dalam zaman moden kini. Walhal, mereka ini tidaklah jahil tentang kepentingan Islam bagi seseorang Muslim menuju ke syurga, tetapi mengapakah mereka masih lagi tidak beramal dengan amalan-amalan yang dianjurkan Islam? Tidak takutkah mereka dengan azab yang diperkatakan Allah terhadap golongan yang lalai dengan perintah-Nya?
Solat pula penting kerana selain mendekatkan diri kita kepada Allah, ia juga mampu memberikan pelbagai faedah kepada sesiapa yang mengerjakannya. Manakala, jihad pula adalah perlakuan dan pengorbanan kita dalam jalan Allah. Ramai yang beranggapan bahawa jihad itu hanyalah berperang semata-mata. Tetapi, sebenarnya jihad bagi kita yang hidup di zaman ini adalah jihad menegakkan agama Islam dengan menjauhkan diri daripada segala dosa selain mempertingkatkan diri dalam bidang-bidang yang dianjurkan dalam Islam bagi tujuan kebaikan diri dan orang lain. Sebagai contoh, kita sebagai seorang pelajar. Kita sebenarnya sedang berada dalam keadaan berjihad untuk menimba ilmu dan mencapai kejayaan hidup selaras dengan tuntutan agama yang menyuruh kita sentiasa mencari ilmu walau di mana sahaja kita berada.
Selain daripada ketiga-tiga perkara di atas, kita juga harus mengamalkan ibadah-ibadah puasa kerana ia juga merupakan perisai bagi umat Islam menangkis segala kemungkaran dan dosa-dosa besar kerana sesuai dengan definisinya yang menyatakan bahawa berpuasa itu adalah menahan diri daripada makan dan minum serta melakukan perkara-perkara yang yang boleh membatalkan puasa.
Dalam kehidupan seharian, kita juga digalakkan untuk selalu bersedekah tidak kira dalam apa jua bentuk sekalipun. Antara fadilat bersedekah ialah ia dapat menghapuskan dosa sebagaimana air yang dapat memadamkan api. Tambahan lagi, dengan bersedekah ikatan silaturrahim dapat dijalinkan antara pemberi dan juga penerima sedekah.
Dan kemudian Rasullullah juga membaca firman Allah Subhanahu wa ta’ala yang bermaksud:
“Mereka yang mereganggangkan diri dari tempat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh, mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaan-Nya) serta perasaan ingin memperoleh lagi (keredhaan-Nya).
(Surah As-Sajdah : 16)
Dalam pada itu, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. mengakhiri perbicaraanya dengan Mu’adz iaitu dengan berkata, “Jagalah ini, ” sambil menunjuk ke arah lidahnya. Baginda menambah bahawa dosa-dosa sebenarnya berasal dari lidah dan manusia itu dilemparkan ke dalam neraka atas sebab-sebab keterlanjuran lidah mereka sendiri. Wahai kaum muslimin, begitulah jalan-jalan menuju ke syurga yang dikemukakan oleh Rasullullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. Syurga itu telah ditutup setelah baginda di bangkitkan dan tidak ada yang masuk ke syurga kecuali dari jalan yang di ajarkan oleh Baginda.
Jalan menuju syurga bukan hanya untuk lelaki sahaja kerana di dalam syurga pastinya ada tempat bagi golongan wanita ini (jalan menuju syurga bagi wanita). Wanita muslimah itu merupakan sebahagian daripada masyarakat dan mereka harus juga bertakwa kepada Allah dalam mengikuti risalah yang dibawa oleh Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam. Wanita juga harus tahu bahawa dalam mengharungi jalan menuju syurga tidak mungkin tercapai kecuali dengan taat kepada Allah dan suaminya.
Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. yang bermaksud :
“Apabila seseorang perempuan itu melaksanakan solat lima waktu, menunaikan puasa di bulan ramadhan, dan mematuhi suaminya, maka perempuan itu akan masuk syurga Tuhan-Nya.”
Wanita juga harus menutup aurat, menjaga kesucian diri, dan berdiam di dalam rumahnya. Berdiam di dalam rumah bukanlah bermaksud tidak melakukan apa-apa tetapi, sebagai wanita dan pembantu bagi sang suami, wanita wajib menjaga tatasusila sebagai seorang isteri dengan menjaga aib suami dan keperluan suami serta anak-anak. Mereka harus menyedari bahawa tindakan tersebut bertujuan untuk menjaga nama baik Islam yang hakiki.
Selain itu, wanita harus malu terhadap Allah daripada menjadi tontonan kepada orang lain yang bukan mahramnya. Ketika suami tidak ada di rumah, wanita harus bijak menjaga diri, menjaga harta suami serta mengasuh anak-anaknya. Tahukah anda bahawa, wanita yang telah mendidik para ulama’, syuhada dan shiddiqin di rumahnya (sewaktu kecil), mereka itulah wanita-wanita yang melalui jalan syurga. Dan juga wanita-wanita yang sanggup berkorban di jalan Allah seperti Aisyah dan Asma’. Hal ini dapat dilihat iaitu ketika Aisyah r.a. diberi hadiah oleh Mu’awiyah bin Abu Sufian sebanyak seratus ribu Dirham, maka beliau menyedekahkan semuanya walhal pada ketika itu beliau sedang berpuasa. Lalu pelayan perempuannya berkata, “Mengapa puan tidak menyisakan satu atau dua Dirham agar aku dapat membelikan daging untuk makanan buka puasamu hari ini?”. Aisyah membalas, “Aku lupa, mengapa tadi engkau tidak mengingatkanku?”. Lihatlah, betapa hebatnya pengorbanan yang dilakukan oleh Aisyah semata-mata kerana suruhan Allah yang menyuruh umat-Nya bersedekah tanpa memikirkan keadaan diri beliau sendiri. Tapi, kita sebagai orang-orang yang boleh dikatakan berkemampuan, tidakkah terlintas sedikitpun untuk melakukan sedekah ini? Hanya kita yang mampu menjawab persoalan tersebut.
Selain itu, terdapat beberapa golongan pencari syurga yang dapat kita perhatikan melalui buku ini dan sudah tentunya dijanjikan syurga bagi mereka. Di sini, penulis mengungkap kembali kisah Perang Uhud yang mana keteguhan dan keberanian para pejuang Islam yang bermati-matian menentang musuh-musuh yang terdahulu.
Sehari sebelum perang Uhud dimulai, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. mengumpulkan sahabat-sahabat Baginda lalu menyatakan perang terhadap Abu Sufyan dan orang-orang musyrik. Baginda bertanya apakah perang tersebut harus dilakukan di jalan-jalan atau di Gunung Uhud? Dan mereka bersepakat untuk mengadakan perang di rumah-rumah mereka sahaja. Setelah itu, di luar masjid pula kedengaran teriakan salah seorang pemuda daripada sekelompok pemuda dari sahabat-sahabat baginda seramai lapan puluh orang, lengkap berpakaian perang.
Dia berkata kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah ikutlah kami ke Gunung Uhud, janganlah engkau menghalang kami untuk masuk syurga.”. Lantas Baginda bertanya, “Dengan apakah engkau akan memasuki syurga tersebut?”. Pemuda itu menjawab pertanyaan Rasulullah, “Aku akan masuk syurga dengan dua hal, iaitu dengan mencintai Allah dan Rasul-Nya, serta aku tidak akan melarikan diri di saat perang sedang berkobar, ”. Mendengar ucapan pemuda tersebut, Baginda mula mengalirkan air mata lalu mengangkat kedua belah tangan seraya berkata kepada pemuda itu. “Jika engkau percaya kepada Allah, maka Allah juga akan percaya kepadamu.” Itulah kepahlawanan ahli syurga terdahulu. Mereka-mereka inilah golongan yang masuk ke syurga kerana berjihad di jalan Allah dan tidak mendahulukan harta benda, isteri dan anak-anak dalam kehidupan mereka.
Wahai kaum muslimin sekalian, seringkali para ulama menyeru kita supaya tetap teguh dengan Islam dan jangan sesekali meragukan keesaan Allah. Berbuat baiklah sementara kita masih dikurniakan kehidupan dan kumpullah sebanyak mungkin pahala-pahala sebagai bekalan di akhirat kelak. Ingatlah bahawa balasan syurga itu terlalu manis dan balasan neraka itu amat dahsyat seksaannya. Sementara kita dihidupkan di dunia ini kita seharusnya tidak terus-terusan terlibat dengan hawa nafsu semata-mata. Tidak ada satu makhluk pun yang akan terlepas dengan perhitungan-Nya. Ingatlah bahawa semua perbuatan kita sama ada baik mahupun buruk, tetap akan disoal. Di sini, saya dapat mengetahui serba sedikit keadaan kita ketika di akhirat kelak dan memuatkannya di dalam tugasan ini.
Apabila tiba masa untuk dihitung amalan-amalan setiap manusia, Allah Subhanahu wa ta’ala. akan mengumpulkan semua makhluk yang dicipta-Nya. Lalu Allah mendatangi mereka dan berkata : “Sesiapa yang dahulunya menyembah sesuatu selain daripada Aku, maka dia akan mengikut sembahannya itu. Sesiapa yang menyembah matahari, maka dia akan mengikut matahari, sesiapa yang menyembah bulan, maka dia akan menyembah bulan dan sesiapa yang menyembah berhala, maka dia akan mengikut berhala.”
Kemudian titian sirathal mustaqim akan dibentangkan dan para malaikat berdiri di samping titian tersebut. Tugas para malaikat ketika itu adalah mengawasi segala perkara dan tidak ada satu pun yang berkata-kata kecuali para nabi dan rasul. Dan pada saat itu, mereka tetap mengatakan “Ya Allah! Selamatkanlah! Selamatkanlah!”.
Maka mulalah perjalanan manusia mengharungi titian tersebut. Ada di antara kita yang selamat sampai ke seberang tanpa sebarang masalah dan ada juga yang tercedera tetapi turut sampai ke penhgujung titian itu. Walaubagaimanapun, ada juga yang diseksa lalu terjatuh ke dalam api neraka yang sudah sedia menunggu dengan nyalaan maraknya. Subhanallah! Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita yang terdahulu dan menyelamatkan kita dari seksaan api neraka jahannam. Apakah bentuk seksaan yang menunggu di kedua-dua piggiran titian sirat itu? Menurut Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. Baginda ada menyatakan bahawa terdapatnya anjing-anjing seperti duri kayu sa’dan (hanya pengembala kambing di zaman nabi-nabi terdahulu yang mengetahui jenis kayu ini) sedang menunggu masa untuk menerkam manusia. Lantaran itu, akibat daripada dosa yang kita lakukan, anjing-anjing ini akan membalas seperti keadaan di atas.
Kemudian Allah memerintahkan malaikat supaya mengeluarkan orang-orang yang tidak menyekutukan-Nya semasa hidup mereka daripada api neraka. Keadaan mereka pada saat itu amat dahsyat sekali iaitu seluruh anggota badannya hangus terbakar kecuali di tempat sujud. Hal ini disebabkan Allah telah mengharamkan api neraka membakar bahagian-bahagian tubuh yang digunakan untuk bersujud. Kemudian mereka dimandikan di Sungai al-Hayat lalu dimasukkan ke dalam syurga. Sementara itu, golongan musyrik pula tetap mendiami neraka yang amat panas tanpa dikeluarkan darinya.
Muslimin sekalian, keadaan syurga juga boleh dikaitkan dengan taman-taman yang indah serta mata air-mata air. Selaras dengan firman Allah yang bermaksud :
“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman syurga, dengan mata air-mata air terpancar padanya.”
Selain itu, di dalam syurga juga terdapatnya sungai-sungai yang mengalir dan mempunyai sifat-sifat mereka tersendiri. Kita dapat mengetahui penjelasan tentang sungai-sungai yang dijadikan Allah buat penghuni syurga ini melalui ayat yang terkandung di dalam Al-Quran yang bermaksud :
“Sifat syurga yang telah dijanjikan kepada orang-orang yang bertakwa (ialah seperti berikut) : ada padanya beberapa sungai dari air yang tidak berubah (rasa dan baunya) dan beberapa sungai dari susu yang tidak berubah rasanya, serta beberapa sungai dari arak yang lazat bagi orang-orang yang meminumnya, dan juga beberapa sungai dari madu yang suci bersih.”
(Surah Muhammad : ayat 15)
Di dunia ini kita ditegah daripada meminum arak. Tetapi, di syurga kelak sungai-sungai yang dijadikan Allah itu terdapatnya air yang diperbuat daripada arak yang sungguh lazat dan tidak melalaikan sepertimana sifat arak yang dibuat oleh manusia. Allah telah menegaskan bahawa sesiapa yang meminum arak di dunia dan tidak menyegerakan taubat kepada-Nya, maka Allah akan memberikan golongan ini minuman dari air lumpur yang mengandungi racun. Para sahabat bertanya kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah, apakah yang dimaksudkan dengan air lumpur yang beracun itu?”. Baginda menjawab, “Sisa-sisa ahli neraka.” Selain itu terdapat juga sumber-sumber yang mengatakan bahawa air tersebut mengandungi nanah ahli neraka yang bercampur dengan darah. Na’udzubillah min Zalik.
Para penghuni syurga bukan sahaja mendapat ganjaran seperti yang dinyatakan di atas tetapi, mereka turut diberi penghormatan iaitu dengan penucapan salam. Firman Allah Subhanahu wa ta’ala yang bermaksud :
“Dan ucapan penghormatan mereka di dalam syurga ialah: selamat sejahtera.” (Surah Yunus :ayat 10)
“Iaitu syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka, sedangkan malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu (memberi hormat seraya berkata) selamat selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu, maka amat baiklah balasan amal kamu di dunia dahulu, ”.
(Surah Ar-Ra’du: ayat 23-24)
Tambahan lagi Allah juga menjanjikan ketenangan hati bagi para penghuni syurga. Dan hal ini merupakan hal yang paling mulia bagi mereka kerana tidak ada kesenangan yang baik di dunia mahupun di akhirat melainkan dengan kesejahteraan hati. Sebagai manusia yang lemah kita tidak lari dengan perasaan-perasaan yang tidak baik seperti dendam, hasad dengki dan kebencian ketika di dunia. Oleh kerana itulah Allah mengurniakan kenikmatan yang tiada bandingan iaitu terhindarnya hati daripada sifat-sifat dendam dan hasad dengki malah di gantikan pula dengan sifat saling mencintai antara satu sama lain. Hal ini ada disebutkan di dalam Al-Quran :
“Dan Kami cabut akan apa yang ada di hati mereka dari perasaan hasad dengki sehingga jadilah mereka bersaudara(dalam suasana kasih mesra) serta mereka duduk berhadapan di atas pelamin masing-masing”. (Surah Al-Hijr: ayat 47)
Di dalam buku ini ada diceritakan tentang satu pertemuan dengan Mu’awiyah. Dan dia ditanya apakah yang dirasakan tentang kehidupan ini. Lantas dia menjawab, “Aku telah memakai pelbagai jenis pakaian maka aku tidak pernah menemukan pakaian yang lebih indah seperti pakaian takwa. Aku telah meminum pelbagai jenis minuman maka aku tidak pernah menemukan minuman yang lebih pahit daripada kekalahan. Aku telah memakan pelbagai makanan maka aku tidak pernah merasa makanan yang lebih lazat daripada sabar dalam menghadapi musibah. Aku telah bergaul dengan saudara dan sahabat-sahabatku, maka aku tidak pernah melihat sahabat atau saudara yang memiliki rasa takut kepada Allah ketika aku duduk bersamanya. Dia berhadapan denganku, dan aku berhadapan dengannya dalam satu majlis dan tiada siapa pun di antara kami melainkan Allah.”
Itulah sifat yang Allah berikan kepada para penghuni syurga. Tiada kesedihan dalam kehidupan mereka, yang ada hanyalah kegembiraan dan ketenangan hati semata-mata. Mereka-mereka inilah orang –orang yang beruntung setelah apa yang mereka lakukan sebelum ini di dunia. Jadi, kita sebagai pencari syurga, ambillah peringatan ini, dan tinggalkanlah segala bisikan nafsu yang membawa kita kepada kehancuran dan balasan neraka kelak. Takutlah kepada Allah dan berusahalah tanpa adanya sebarang sifat jemu dan berputus asa kerana orang yang tidak berputus asa mencari keredhaan di jalan Allah pastinya berjaya.
Dalam sebuah hadis ada disebutkan bahawa ketika Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam. duduk-duduk bersama para sahabat di masjid, Baginda bersabda :
“Akan datang kepada kamu seorang lelaki penghuni syurga dari pintu ini.”
Kemudian, datanglah seorang lelaki lalu dia berwudhu’. Ketika berwudhu’ dia menyapu-nyapu janggutnya dari sisa air wudhu’ tersebut. Dan dia pun menunaikan solat dua rakaat kemudian duduk. Perkara yang sama berulang sehinggalah hari yang ketiga.
Lalu Ibnu Umar mengikuti lelaki tersebut dan bermalam bersamanya selama dua malam berturut-turut. Di situ, dia diperlihatkan dengan solat, puasa dan zikir lelaki itu. Kemudian dia bertanya, “Aku pernah mendengarkan Rasulullah berkata bahawa Kau adalah penghuni syurga dan Baginda memberitahukan hal itu sebanyak tiga kali. Apakah yang engkau lakukan? Aku melihat solatmu tidak banyak, demikian juga puasa dan zikirmu.”
Lelaki itu menjawab, “ jika engkau bertanya kepadakau, demi Allah yang tiada Tuhan selain Dia, sepanjang malam aku tidak pernah tidur dalam keadaan hatiku ada rasa dendam, dengki, tipu daya, kebencian dan iri hati kepada sesiapa pun. Dan itulah sebenarnya yang menyebabkan kita mengalami kekalahan.”
Muslimin sekalian, setelah kita mengetahui beberapa nikmat bagi penghuni syurga, di sini pakaian bagi penghuni syurga turut diselitkan di dalam buku tersebut. Apakah pakaian penghuni syurga? Siapakah yang layak untuk memakai pakaian tersebut? Dan bagaimanakah kita boleh marasainya? Pada hari kiamat kelak, kita dibangkitkan dari kubur dalam keadaan telanjang tidak terkecuali para nabi sekaliannya. Selain bertelanjang, kita juga tidak akan bercakap dan belum berkhatan sepertimana kita dilahirkan. Dan hal ini menyebabkan Aisyah berasa hairan lalu ditanyakan kepada Rasulullah. “Wahai Rasulullah, bukankah antara kita akan saling melihat antara satu sama lain?” Rasulullah menjawab, “Bahkan perkara (keadaan) yang lebih besar dari itu wahai Aisyah.”
Firman Allah dalam Surah Abassa ayat 34-37 yang bermaksud :
“Pada hari seseorang itu lahir dari saudaranya, dan ibu serta bapanya, dan isterinya serta anak-anaknya. Kerana tiap-tiap seorang dari mereka pada hari itu, ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja.”
Apakah manusia masih sempat berfikir dan melihat-melihat? Tidak! Demi Allah perkara di sana lebih besar untuk kita daripada memikirkan hal-hal seperti itu.
Siapakah yang mula-mula dipakaikan pakaian kepadanya? Itulah dia Nabi Ibrahim a.s. Tetapi, pakaian tersebut bukanlah yang terbaik kerana pakaian yang terbaik adalah untuk nabi kita iaitu, Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam. Kemudian, Allah akan memakaikan pula pakaian kepada penghuni syurga sekaliannya. Firman Allah Subhanahu wa ta’ala. dalam Surah Ad-Dukhan ayat 53 yang bermaksud :
“Mereka memakai pakaian dari kain sutera yang halus dan kain sutera tebal yang bersulam: (mereka duduk di tempat perhimpunan) sentiasa berhadap-hadapan (di atas pelamin masing-masing).”
Selain itu Allah turut berfirman lagi tentang pakaian ahli syurga ini iaitu:
“Mereka di dalam syurga memakai pakaian hijau yang diperbuat dari sutera halus dan teba, serta mereka dihiasi dengan gelang-gelang tangan dari perak.”
(Surah Al-Insan: ayat 21)
Dan bagi penghuni neraka pula Allah Subhanahu wa ta’ala. berfirman dalam surah Al-Hajj ayat 19 yang bermaksud :
“Maka orang-orang kafir akan disediakan untuk mereka pakaian dari neraka, serta dicurahkan atas kepala mereka air panas yang menggelegak, yang dengannya dihancurkan apa yang ada dalam perut mereka, dan juga kulit badan mereka.”
Subhanallah! Ini lah yang dikatakan nikmat dan balasan yang tidak dapat dibayangkan manusia. Pakaian adalah penutup yang dipakaikan oleh Allah kepada orang yang bertakwa. Seandainya dia telah memakai semua pakaian di dunia(tidak seperti yang dituntut syarak), maka Allah tidak akan memberi pakaian kepadanya di sana. Semoga kita dijauhkan dari seksaan yang maha hebat itu.
Sesunguhnya syurga itu memiliki aroma wangi dan hanya Allah sahaja mengetahui keharumannya. Dalam kitab sahih Bukhari disebutkan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. bersabda :
“Sesiapa yang mati dalam keadaan kafir mu’ahad maka dia tidak akan mencium bau wangi syurga. Sesungguhnya bau wangi syurga itu dapat dicium dari jarak empat puluh tahun perjalan.”
Walaubagaimanapun, sebenarnya ia terpulang kepada amalan kita semasa di dunia. Jika buruk amalannya, maka Allah akan menjauhkan bau wangi syurga daripada golongan ini lebih daripada empat puluh tahun. Manakala, haruman syurga pasti diperoleh jika sebaliknya.
Selain daripada pakaian dan bau-bauan syurga, terdapat juga pintu-pintu syurga yang dijadikan Allah bagi golongan-golongan tertentu. Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. :
“Sesungguhnya syurga itu ada lapan pintu. Sesiapa yang termasuk ahli solat maka dia akan dipanggil dari pintu solat, sesiapa yang termasuk ahli sedekah maka dia akan dipanggil dari pintu sedekah, sesiapa yang termasuk ahli puasa maka dia akan dipanggil dari pintu Rayyan, sesiapa yang termasuk ahli jihad maka dia akan dipanggil dari pintu jihad.”
Lalu Abu Bakar pun berkata, “Wahai Rasulullah adakah orang yang dipanggil dari kelapan-lapan pintu syurga itu?”
Seperti kita yang menginginkan balasan syurga, Abu Bakar turut mendambakan balasan yang sedemikian. Bahkan jika kita melihat daripada amalan-amalan Abu Bakar ini, sungguh jauh kita ketinggalan kerana Abu Bakar merupakan seorang yang sangat leka dengan zikrullah hariannya. Jihadnya dalam Islam sungguh menakjubkan dan dari segi ibadah pula, dialah yang paling ahli ibadah. Kepimpinanannya dalam perang boleh telah dikhabarkan sebagai komandan perang dan penghunus-penghunus pedang yang sangat berani menentang musuh-musuh Allah.
Mendengar itu, Rasulullah tersenyum sambil berkata, “ Ada. Dan aku berharap semoga engkau termasuk di dalamnya.”
Dan Baginda bersabda lagi :
“Sesiapa yang berwudhu’ dengan baik, kemudian dia membaca, “Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu adalah utusan Allah, maka dibukakan baginya pintu-pintu syurga yang lapan.”
Muslimin sekalian. Nabi Muhammad merupakan manusia yang mula-mula masuk ke dalam syurga. Dalam kitab sahih Muslim ada disebutkan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. bersabda :
“Aku adalah nabi yang paling banyak pengikut pada hari kiamat, dan aku pula orang yang pertama mengetuk pintu syurga.”
Manakala bagi orang-orang yang bertakwa pula, mereka akan masuk ke syurga secara bersama-sama dalam beberapa barisan. Hal ini ada disebut bahawa Rasulullah bersabda :
“Umatku akan masuk syurga sebanyak tujuh puluh ribu atau tujuh ratus ribu dengan saling berpegangan tangan antara satu sama lain. Tidak ada yang masuk dahulu sehingga yang lain masuk, muka mereka bercahaya seperti bulan pada saat bulan purnama.”
Manusia yang terakhir masuk ke syurga pula telah disebutkan dalam kitab Sahih Bukhari dan Muslim iaitu seorang lelaki dari penghuni neraka yang dikeluarkan oleh Allah. Kemudian dia berdiri dan dihadapkan ke neraka, lalu dia berkata, “Wahai Tuhanku, palingkanlah mukaku dari neraka, sebab ia telah membakar sekujur tubuhku, dan baunya telah meracuniku, ”. Allah berkata kepadanya, “ Wahai cucu Adam, bila Aku palingkan pandanganmu dari neraka ini, apakah engkau akan mengharapkan yang lain?”. Lelaki itu menjawab, “Demi Keagungan dan Kemuliaan-Mu, aku tidak akan meminta yang lain kepada-Mu.”
Lalu Allah memalingkan mukanya dari neraka itu ke arah syurga. Tatkala lelaki itu melihat syurga dan matanya tertuju kepada bunga-bunganya, keindahannya, kenikmatannya dan kesenangannya, dia lalu berkata, “Ya Allah, dekatkanlah aku ke pintu syurga.”
Allah berkata kepadanya, “Celakalah engkau wahai cucu Adam! Bukankah engkau telah mengatakan bahawa tidak akan meminta yang lain lagi? Jika Aku mendekatkan engkau ke pintu syurga, apakah engkau akan meminta yang lain lagi?”. Lelaki itu menjawab, “Demi Keagungan dan Kemuliaan-Mu aku tidak akan meminta yang lain dari-Mu.”
Kemudian Allah mendekatkan lelaki itu ke pintu syurga, akan tetapi dia ingkar dengan janjinya lagi dan meminta untuk dimasukkan ke dalam syurga yang indah itu. Soal jawab terus berlaku. Dan dia dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga. Dan di situ dia masih mengharapkan yang lain lagi. Setelah Allah menerangkan segala nikmat yang tersedia di dalam syurga, lantas Dia mengurniakan nikmat sebanyak lima kali ganda daripada semua yang diinginkan pemuda itu, ”.
Maha suci Tuhan yang Maha Pengasih lagi Penyayang. Banyak sungguh kurniaan-Nya kepada kita. Tetapi, kita tetap juga tidak mahu sedar akan nikmat yang dijanjikan Allah ini. Bahkan kita masih terjerumus dengan nikmat-nikmat dunia yang hanya sementara. Itulah dia nafsu yang dimainkan syaitan dan kita sendiri kerana tidak mahu mengikut suruhan Allah. Wahai Muslimin sekalian! Sedarlah! Kerana ajal itu sentiasa menghampiri. Jika nyawa kita diambil, pada masa itu tidak ada lagi perkataan taubat, mencari pahala dan hilanglah kepentingan harta benda serta kesenangan di dunia ini. Oleh itu, marilah kita sama-sama renungkan dan muhasabah diri agar kita tergolong dalam golongan yang dijanjikan syurga di akhirat sana. Amin..
..............................................................
Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
Malaysia
013-4006206
011-1070-4212
04-988-2701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
abdazizharjin.blogspot.com