Tajuk: Mendidik Anak-Anak

Sayangkan anak-anak :
Menyayangi anak-anak adalah sifat semula jadi yang ada pada setiap ibu bapa. Anak-anak adalah penghibur ibu bapa yang membawa sinar kebahagiaan di dalam sebuah keluarga.
Firman Allah :
“Harta dan anak-anak itu adalah poerhiasan hidup dunia.” (Al-Kahfi : 46) 
“Dan Kami mambantu kamu dengan harta kekayaan dan anak-anak, dan Kami jadikan kamu kelompok yang lebih besar.” (Al-Isra’ : 6) 
“Dan orang-orang yang berkata : Ya Tuhan kami! Anugerahkanlah kepada kami dari isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati kami, dan jadikanlah bagi kami pimpinan bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Al-Furqan : 74) 
“Dan supaya aku membuat amal yang soleh yang Engkau redhai : Berikanlah kepadaku dengan member kebaikan kepada anak cucuku.” (Al-Ahqaf : 15) 
Dari keterangan-keterangan di atas, kita dapat tahu yang anak-anak adalah penyeri hidup, juga sebagai kekuatan dan kemuliaan yang Allah berikan kepada kita. Jadi, sebagai kesimpulannya, hendaklah ibu dan bapa mempunyai panduan mendidik anak-anak dan berpegang pada panduan tersebut.
Mengambil berat tentang urusan anak-anak sebelum anak-anak lahir :
1. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam telah menerangkan kepada kaum Muslimin ketika memilih pasangan. Iaitu dari dasar kesucian, ketaqwaan, baik ikatan untuk berkongsi hidup kerana ini semua akan membawa kepada kelahiran anak-anak dari keluarga yang baik dan bersih.
2. Rasullullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam menggalakkan supaya tidak berkahwin dengan pasangan ada hubungan darah. Ini kerana mengikut pengkajian yang telah dijalankan, perkahwinan di antara pasangan yang tidak ada hubungan darah, menghasilkan anak-anak yang kuat kerana anak-anak lahir dari keistimewaan keturunan yang berbeza.
Sabda Rasullullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . : “Berkahwinlah dengan keturunan yang lain (tiada hubungan darah) kerana ia akan melahirkan keturunan yang kuat.”
3. Anak menjadi keutamaan di dalam syariat Islam. Bagi ibu-ibu yang mengandung, mereka dibolehkan untuk berbuka puasa apabila dia merasakan puasanya itu akan mengakibatkan bahaya kepada kandungannya.

Mengambil berat terhadap anak yang telah dilahirkan :
Selepas bayi lahir, hendaklah memberitahu berita gembira itu kepada keluarga, saudara-saudara dan kawan-kawan. Dan apabila mereka mengucapkan tahniah dan mendoakan bayi itu, mudah-mudahan diperkenankan doa tersebut. Dan apabila mendapat berita kelahiran anak perempuan, janganlah sekali-kali menyesal seperti apa yang yang telah terjadi pada zaman Jahiliah dulu. Apabila menerima berita kelahiran anak perempuan, mereka menjadi marah dan mereka berada dalam keraguan sama ada mahu menanggung malu atau membunuh anak perempuan mereka. Tidakkan kejam perbuatan mereka itu?
Lantas, bagi menyelesaikan masalah itu, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . bersabda :
“Berlaku adillah terhadap anak-anakmu. Berlaku adillah terhadap anak-anakmu.”
“Barangsiapa yang memelihara dua orang anak perempuan hingga dewasa, dia akan datang pada hari kiamat, yakni aku dan dia menjadi penjamin.”
“Barangsiapa yang memelihara tiga orang anak perempuan dan dia bersabar di dalam mendidik mereka, member minum serta pakaian mereka daripada usahanya (hartanya) , mereka itu semua akan menjadi pelindung baginya daripada api neraka.”
AZAN DAN IQAMAT DI TELINGA ANAK YANG BARU LAHIR.
Disunatkan azan di telinga kanan bayi dan qamat di telinga kiri bayi ketika bayi baru sahaja dilahirkan. Ini kerana azan dan iqamat itu adalah kalimah yang pertama yang didengar oleh seorang insane ketika ia baru dilahirkan, iaitu kalimah-kalimah seruan yang mengandungi kebesaran Tuhannya dan kemuliaan-Nya.
Juga menjadi syahadat pertama apabila seseorang ingin masuk Islam. Selain daripada itu, kalimah ini adalah untuk mendahului daripada seruan syaitan kepada anak yang ingin mengubah perlakuannya dan melakukan sesuatu yang tidak diredhai Allah dan diri bayi tersebut.
Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . daripada Ibnu Abbas r.a. : “Nabi telah berazan di telinga kiri Hasan di hari lahirnya dan qamat di telinga kirinya.

MENGHANAQKAN BAYI
Hanaq ialah langit-langit bahagian atas mulut. Apa yang dimaksudkan dengan menghanaqkan bayi ialah dengan mengusap mulut bayi (langit-langitnya) dari dalam dengan kurma atau sesuatu yang manis yang telah dilembutkan, kemudian digerak-gerakkan ke kiri dan ke kanan dangan lembut sehingga keseluruh mulutnya. Hikmah menghanaq bayi ini adalah mudah-mudahan ia akan menguatkan tulang-tulang mulut dengan gerakan lidah sehingga ia dapat menghisap susu ibunya dengan semula jadi. Lebih baik lagi jika ia dilakukan oleh orang yang beramal salih untuk mendapat keberkatan. Di dalam hadith Abu

Burdah daripada Musa r.a. berkata : Telah dilahirkan untukku anak lelaki, lalu aku membawanya bertemu dengan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . Kemudian nabi memberikannya nama Ibrahim dan menghanaqkannya dengan tamar, serta mendoakannya supaya memperolehi keberkatan, kemudian memberikannya kepadaku semula.

MEMBOTAKKAN KEPALA
Dirawayatkan dari Yahya bin Bukair daripada Anas bin Malik r.a. bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . memerintahkan supaya dibotakkan kepala Hasan dan Husin di hari yang ketujuh dari lahirnya, lalu dibotakkan dan ia bersedekah seberat timbangan rambut itu dengan perak.
Hikmah mencukur kepala ialah untuk mendekatkan diri kepada keredhaan Allah dengan mengikut ajaran Rasullullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . Ia juga merupakan satu latihan kesihatan yang baik kerana mencukur rambut bererti menyihatkan dan menghilangkan kelimumur di kepala
MEMBERIKAN NAMA YANG BAIK
Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam ., “Tiap-tiap anak yang dilahirkan itu tegadai dengan aqiqah. Berkorbanlah (sebagai aqiqah) untuknya di hari yang ke tujuh, dan berilah dia nama serta botakkan kepalanya. “
Hikmah memberi nama yang baik ialah supaya tidak membuat anak-anak berkecil hati jika diberi nama yang tidak baik. Sebaik-baik nama ialah nama nabi-nabi dan nama yang mengiringi Allah seperti Abdullah, AbdurRahman dan sebagainya. Kita juga mestilah menjauhkan dari member nama seperti nama-nama perhambaan kepada tuhan yang lain, nama yang mengandungi cela, dan juga elakkan daripada memberi nama Allah seperti Al-Ahad, As-Samad dan sebagainya.
AQIQAH
Aqiqah itu adalah menyembelih kambing pada hari ke tujuh selepas lahirnya bayi. Untuk anak lelaki, dua ekor kambing yang sederhana (sama umurnya dan bentuk yang seakan-akan) manakala untuk anak perempuan seekor kambing sahaja. Dan menjadi adat agar tidak mematah-matahkan tulang sembelihan itu sama ada ketika menyembelih atau memakannya, agar dapat diberikan potongan yang besar-besar kepada orang-orang miskin dan jiran-jiran. Aqiqah ini juga untuk mengharapkan kesihatan dan keselamatan anggota tubuh anak itu kerana tujuan aqiqah adalah sebagai tebusan untuk menghampirkan diri anak yang lahir kepada Allah pada pertama kali mencium udara kehidupan.

KHITAN
Khitan bererti memotong kulit yang ada pada hujung zakar dan memotong sebahagian yang atas kelentit perempuan. Ada sebahagian ulama berpendapat bahawa wajib bagi lelaki dan sunat bagi perempuan. Sebahagiannya pula berpendapat bahawa sunat untuk lelaki dan satu kemuliaan untuk perempuan. Dan ada juga berpendapat bahawa hukumnya adalah sama di antara lelaki dan perempuan.
Telah diwajibkan khitan itu kerana untuk membezakan antara orang Islam dan orang kafir. Kelebihan utama dalam berkhitan ini ialah untuk menjaga kesihatan bayi dan orang dewasa kerana berkhitan ini dapat menghindarkan diri daripada penyakit kanser.
Berkata Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . : “ Empat perkara yang menjadi perbuatan Para Rasul ialah : khitan, berwangi-wangian, bersugi dan nikah.”
PENYUSUAN
Syariat Islam menggalakkan penyusuan anak kepada ibu-ibu dari semenjak bayi lahir hingga usianya dua tahun seperti firman Allah :
“Dan para ibu hendaklah menyusukan anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan, dan kewajipan ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara ma’aruf. Seseorang tidak dibebani melainkan mengikut kadar kesungguhannya, jangan sampai seorang ibu menderita kerana anaknya atau seorang ayah kerana anaknya. “
 (Al-Baqarah : 233) 
Dari ayat di atas, ia mewajibkan keatas kedua ibu bapa supaya memahami anaknya, dan menyayangi mereka agar dapat mendidik mereka dengan baik. Bagi ibu pula, hendaklah menyusukan anaknya dengan baik dan redha dengan semulajadi, dan bagi bapa pula hendaklah memberinya makan dan pakaian. Jika bapa meninggal sebelum tamat penyusuan dengan sempurna, waris bapa tadi harus member nafkah kepada si ibu. Dan jika si ibu meninggal atau berpenyakit, boleh mengupah orang untuk menyusukan anak.
MENDIDIK ANAK-ANAK
Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam berkata : “Barangsiapa yang memisahkan di antara ibu dan anaknya, Allah akan pisahkan di antaranya dengan orang yang disayanginya di hari kiamat.”
Mendidik anak itu menjadi tanggungjawab ibu di sepanjang mereka masih kecil lagi, kemudian digantikan kepada pendidikan bapanya selepas ia boleh menjadi seorang anak yang boleh menguasai dirinya sendiri daripada penjagaan ibunya terhadap dirinya. Jika terjadi hal yang tidak diingini seperti penceraian kedua ibu bapa, seorang hakim mestilah meletakkan penjagaan anak itu di tempat yang baik sama ada di belah pihak bapanya atau di belah pihak ibunya. Hakim ada hak untuk memilih siapakah yang lebih memberi manfaat kepada anak dan yang mampu untuk memelihara anak dengan baik.

MENDIDIK ANAK-ANAK DAN MEMELIHARA MEREKA ATAS NILAI YANG MULIA
Berkata Ali bin Abu Talib r.a. : Sebaik yang dijadikan warisan bagi bapa ke atas anak-anaknya ialah pendidikan adab.
Ibnu Mas’ud r.a. berkata : Setiap orang yang terdidik mestilah ada nilainya, dan bahawasanya pendidikan Allah pula adalah dengan Al-Quran.
Sebab itulah, maka nyata sekali bahawa nilai pendidikan agama sejak kecil lagi merupakan asas utama dalam pendidikan Islam.
CARA MENDIDIK ANAK DENGAN SEBAIK-BAIKNYA
A. Berlaku benar terhadap anak-anak di dalam pelakuannya.
Perbuatan ibu bapa menjadi contoh buat anak-anak. Nasihat pula akan mendatangkan yang sebaliknya jika seseorang itu menasihati dan melakukan perbuatan yang tidak secocok dengan nasihatyang diberinya. Kedua ibu bapa hendaklah berhati-hati apabila berbicara dengan anak-anak agar tidak berlaku sebarang pembohongan, kerana itu akan menghilangkan kepercayaan
anak-anaknya. Contohnya, jika ada orang mengetuk pintu rumah, lalu ibu atau bapa mengajarkan anak-anak supaya memberitahu orang yang datang kerumah itu ibu dan bapa tiada di rumah. Padahal itu semua bohong. Contoh ini akan memalingkan dari kebenaran dan dia akan rosak dan tiada ubat lagi.

B. Menemani anak ke masjid.
Ibu atau bapa haruslah menemani anak ke masjid supaya mereka merasa rajin untuk menunaikan solat berjemaah di masjid. Allah juga mengurniakan ganjaran pahala bagi mereka yang melangkah berjalan ke masjid dengan niat yang ikhlas dan tanpa mengharapkan balasan.

C. Mendidik anak supaya bersembahyang
Firman Allah :
“Dan orang yang beriman dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka, dan kami tiada mengurangi sedikit pun dari pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang mereka kerjakan.”

Adalah menjadi kewajipan bagi ibu bapa supaya mengajar anak mereka untuk bersolat kerana ini adalah satu penanaman iman di hati mereka. Sembahyang itu tian agama. Barangsiapa yang mendirikan solat, dia telah mendirikan agamanya dan barangsiapa yang tidak mendirikan solat, dia telah meruntuhkan agamanya. Wajib juga kepada ibu bapa supaya mengajarkan mereka cara untuk bnerwudhuk, mendengar azan, berjalan menuju ke masjid dan keluar daripadanya. Ketika kedengaran azan, ajarlah anak-anak supaya menjawab azan. Juga ajarlah anak-anak ketika masuk ke masjid, jangan lah ia duduk sehingga ia mendirikan sembahyang sunnat dua rakaat. Ibu bapa tidak harus cuai dalam melaksanakan tanggungjawab mereka yang ini kerana ia akan membuatkan anak-anak mereka jahil dalam perkara-perkara ini.

D. MENDIDIK ANAK SUPAYA BERPUASA.
Wajib mengajar anak supaya berpuasa semenjak mereka kecil lagi.
Rabi’ binti Mu’awwidz pernah menghiburkan anaknya dengan pelbagai permainan apabila dia berpuasa untuk melalaikannya sehinggalah tamat waktu puasanya.

E. MENGAJAR ANAK-ANAK AL-QURAN DAN HADITH
Wajib juga kepada ibu bapa supaya memberi semangat kekuatan kepada anak-anak apabila mereka menghafal ayat-ayat Al-Quran dan hadith- hadith dengan kata-kata yang baik dan memberikan hadiah dan mendoakan mereka.
Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . : “Hak anak ke atas ibu bapanya ialah mengajarnya membaca Al-quran, dan berenang dan tidak memberinya rezeki melainkan yang baik.”

F. MENGAJAR ANAK-ANAK BERZIKIR
Mengajar anak-anak berzikir adalah supaya mereka mengingati Allah Subhanahu wa ta’ala . berzikir boleh dilakukan dimana-mana sahaja. Sebelum solat dan selepas solat supaya diri didekatkan kepada Allah Subhanahu wa ta’ala . kemudian mengajarkan mereka berdoa. Berdoa pada setiap apa yang dilakukan agar mendapat keredhaan terhadap segala pekerjaan yang dibuat. Contohnya berdoa sebelum dan selepas makan, berdoa sebelum masuk dan keluar dari tandas dan sebagainya.

G. MEMISAHKAN ANAK-ANAK DARIPADA TEMPAT TIDURNYA.
Wajib memisahkan tempat tidur antara anak lelaki dan perempuan semenjak kecil lagi. Terutama bagi saudara perempuan. Hikmahnya, apabila sudah sampai umur sepuluh tahun iaitu hampir usia baligh, kerana dalam usia yang sedemikian wajiblah mengajar mereka supaya mempunyai sifat malu. Anak perempuan yang sudah mencapai umur sepuluh tahun, hendklah dia tidur jauh dari saudaranya yang lelaki. Ini adalah kerana untuk memelihara dirinya daripada saudara-saudara lelaki.

Demikian juga bagi anak lelaki, mereka harus tidur jauh dari saudara perempuan mereka supaya mereka dapat menjaga pandangan mereka. Itu semua untuk memelihara dirinya supaya tidak melencong seperti yang kebanyakannya berlaku pada pemuda zaman sekarang.
Juga, tidut berjauhan daripada saudara lelakinya juga dapat memelihara diri mereka daripada terjebak dengan liwath.

H. MENGAJAR ANAK-ANAK HUKUM REMAJA DAN BALIGH
Ibu bapa haruslah mengajar anak-anak akan perihal berkenaan baligh. Bagaimana mereka mencapai baligh dan apa yang harus dibuat selepas baligh. Kerap kali kita mendengar anak muda kita baligh tapi mereka jahil tentang ilmu ini. Mereka tidak mengetahui bagaimana cara untuk bersuci. Jadi, ibu bapa memainkan peranan mengajarkan semua ini kepada anak-anak agar mereka mengetahui hal ini dan dapat menjalankan ibadah dengan yakin tanpa ragu-ragu.

..............................................................
Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
Malaysia
013-4006206
011-1070-4212
04-988-2701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
abdazizharjin.blogspot.com