Tajuk: Apa Itu Taubat?

Semua umat Islam diwajibkan bertaubat kepada Allah Subhanahu wa ta’ala . sekiranya melakukan dosa, tidak kiralah dosa kecil atau besar. Ini kerana taubat akan sentiasa mengingatkan kita kepada Allah Subhanahu wa ta’ala . dan hanya Allah yang boleh mengampuni dosa-dosa kita.
Taubat itu bermaksud atau mempunyai pengertian dari tiga perkara iaitu ilmu, keadaan dan perbuatan. Pengertian yang pertama itu menyebabkan timbulnya pengertian yang kedua, kemudiannya pengertian yang kedua menimbulkan pengertian yang ketiga dengan pasti.
Maksud taubat dari pengertian yang pertama iaitu ilmu, ialah mengetahui dengan sebenar-benarnya perihal betapa besarnya bahaya hal-hal yang berdosa jikalau dilakukan dan bahawa dosa-dosa itu akan menjadi racun yang akan pasti merosakkan jiwa, hati dan agama, juga merupakan tabir antara seseorang dengan apa sahaja yang dianggap sebagai kekasihnya. Sekiranya seseorang itu telah memahami ini dengan sebaik-baiknya dan berkeyakinan yang hakiki dan pula dimenangkan pula dihatinya, maka dari kema’rifan yang sedemikian tadi akan timbullah semacam kesakitan di dalam hatinya, jikalau tersampai terpisah sedikit sahaja daripada kekasihnya. Ini kerana ia sudah menjadi sebahagian daripada sifat dan tabiat hatinya itu, hanya apabila terpisah daripada kekasihnya. Andainya hal ini disebabkan oleh perbuatannya, maka ia akan menyesali perbuatannya sendiri, mengapa sampai terjadi hingga dapat terlena, sekalipun hanya sesaat yang teramat pendek. Dalam keadaan yang sedemikian, kesakitannya kerana perbuatannya tadi disebut sebagai “penyesalan”. Apabila rasa sakit ini mula member kesan kepada hatinya dan benar-benar dapat mempenagruhi jiwanya, maka dari rasa sakit ini akan timbul pula dalam hatinya suatu keadaan yang lain yang dinamakan sebagai “iradat (karsa) ” dan “kesengajaan (kasad) ”.
Yang dimaksudkan dengan iradat dan kesengajaan ialah, yang bersangkutan dengan perbuatan yang akan dilaksanakannya secara berbaringan iaitu pada saat sekarang, saat yang lalu dan saat yang sesudah itu yakni hari-hari yang akan datang.
Perihal yang berhubungan dengan masa sekarang ialah dengan meninggalkan dosa yang dilakukan, yang berhubungan dengan masa yang akan datang ialah dengan sengaja akan meninggalkan dosa yang menyebabkan perpisahan antara dirinya dengan kekasihnya itu untuk selama-lamanya dan sepanjang usiannya yakni sampai mati, sedang yang berhubungan dengan yang lampau ialah mengejar apa yang sudah tertinggal kerana kesalahannya itu dengan berbuat kebaikan serta menggadaikan yang sudah terlambat, jika sekiranya dapat ditebus dengan kebaikan.
Oleh itu, kumpulan dari ilmu, penyesalan dan kasad (kesengajaan) yang bersangkutan dengan meninggalkan kesalahan itulah yang secara kesatuan sebagai taubat. Tetapi sering kali juga kata diertikan dengan pengertian penyesalan sahaja, jadi ilmu sebagaimana yang tercantum di atas itu dianggap sebagai mukadimah (pendahuluan) dari taubat itu sedang meninggalkan kesalahan itu sendiri dianggap sebagai buah lanjutan.
Di dalam sebuah hadith disebut bahawa “penyesalan adalah taubat “. Mungkin benar juga apa yang diperkatakan kerana penyesalan tidak terlepas daripada soal-soal pengetahuan (ilmu) yang menyebabkan timbulnya perasaan penyesalan atau boleh dikatakan penyesalan itu buah dari mengetahui perbuatan, dengan diikuti akan juga tidak akan terlepas dari sesuatu azam atau maksud yang merupakan pengikut daripadanya iaitu berbuat kebaikan sebagai imbangan dari keburukan yang telah dilalui dan disesali sebelum ini.
Untuk bertaubat kita seharusnya mengetahui kewajipan bertaubat dan keutamaanya supaya kita betul-betul bertaubat kepadaNya. Diketahui bahawa kewajipan bertaubat sudah termaktub akan maksud dan keterangannya dengan nas-nas daripada Al-Quran dan hadith-hadith Rasuulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . Itupun juga merupakan suatu hal yang terang-terang menggunakan cahaya penelitian bagi seseorang yang telah Allah berikan kepadanya dan Allah mengurniakan kepadanya cahaya keimanan yang penuh ke dadanya. Ini kerana seseorang yang mengetahui dan mengakui dengan keyakinan bersungguhnya bahawa di situ tiada kebahagiaan yang abadi dalam perumahan akhirat yang baka itu melainkan dia bertemu dengan Allah Subhanahu wa ta’ala dan menghadapnya dengan hati yang tenang dan sejahtera. Diberitahu pula bahawa setiap hati yang tertutup atau terhalang untuk bertemu dengannya itu pasti akan celaka untuk selama-lamanya dan ini bukanlah suatu hal yang mustahil lagi. Orang yang sedemikian rupa pasti akan berusaha sekeras-kerasnya agar tiada penghalang yang merupakan tabir antara dirinya dengan Zat yang dicintai itu dan jangan pula sampai terbakar hangus tubuh dan jiwanya dengan api perpisahan serta api neraka Jahim yang sebenarnya. Ia pasti meyakinkan bahawa dengan mengikut nafsu dan bahawa tidak ada yang mendekatkan diri untuk dapat bertemu denganNya dengan perasaan yang gembira, melainkan mengharuskan menghadap ke hadiratNya dengan jalan yang sentiasa berzikir dan mengingati Zatnya itu. Ia yakin juga bahawa dosa-dosa itulah yang merupakan satu-satunya penyebab tertutup dan terhalang serta jauh dari kerahmatan Allah Taa’la. Oleh sebab itu tidak ada ragu-ragu lagi bahawa ia harus bergeser serta meninggalkan jalan yang menyebabkan jauhnya dengan Allah Taa’la justeru memang inilah satu-satunya jalan untuk mendekatkan diri kepadaNya.
Meninggalkan jalan yang menjauhkan diri kita kepada Allah Taa’la hanya dapat disempurnakan sekiranya kita mempunyai ilmu, menyesali kesalahan-kesalahn yang kita lakukan serta berazam yakni bertekad akan terus meninggalkan dan sebagai gantinya, kita seharusnya memperbanyakkan amal ibadah. Dengan jalan inilah akan diperoleh akan keimanan dengan cara penyelidikan yang teliti dan cermat.
Andainya masih ada yang belum mendapat meresapi persoalan ini, hendaklah meneliti nas-nas dari Al-Quran atau Sunnah Rasulullah yang berhubung kait dengan persoalan sebentar tadi.
Mungkin masih ada yang masih tidak mengetahui bahawa kewajipan bertaubat ada yang seketika dan kelangsungan menunaikan taubat. Jadi untuk melaksanakan taubat tidak seharusnya ditangguh lagi dan harus dilaksanakan dengan secepat mungkin. Ini tidak seharusnya diragui oleh sesiapa yang bergelar sebagai umat Islam. Kerana kita sama-sama mengetahui bahawa kemaksiatan itu boleh merosakkan inti keimanan seseorang Jadi jelaslah bahawa taubat itu wajib dilakukan dengan secepat mungkin setelah sedar akan kesalahan yang dilakukan. Seseorang yang tidak dapat meninggalkan kemaksiatan dengan jelas sekali bahawa dia telah kehilangan satu bahagian yang penting sekali dari keimanan. Semua ini terjadi kerana dia telah menjauhkan diri dari Allah Taa’la. Dan semua ini telah menyebabkan kemurkaanNya kepada orang yang melakukan maksiat.
Maksiat merupakan racun atau makanan yang berbahaya kepada tubuh manusia. Sekiranya makanan seperti ini terus dimakan, ia dapat merosakkan kesihatan tubuh dan jikalau dilanjutkan secara terus-menerus, hingga berkumpul dan bertompok-tompok banyak, pasti akan menyebabkan rosak serta matinya tubuh itu secara mendadak, maka bertambahlah dosa-dosa yang ditanggung akibat dari kemaksiatan tersebut. Dosa-dosa ini adalah racun kepada dan jikalau terkumpul dan bertompok-tompok dalam diri seseorang, tentu akan dapat meracuni roh keimanannya. Racun ini akan terus bekerja untuk merosakkan kesihatan keimanan manusia sehingga akhirnya dapat dikatakan secara pasti bahawa orang yang terkena sedemikian pasti akan rosak dan binasa jiwanya, akhlaknya dan agamanya, baik di dunia dan akhirat dan termasuklah ia dalam golongan orang yang sengsara.
Walaupun ada tentang kewajipan bertaubat itu secara langsung namun masih ada manusia yang ambil tidal kisah akannya. Kerana mereka ingat usia mereka masih panjang dan mereka hanya akan bertaubat sekiranya usia mereka semua telah tua. Sekiranya kemaksiatan dapat dielakkan, terdapat gangguan lain iaitu godaan daripada syaitan yang bertujuan untuk menyelewengkan hati manusia daripada berzikir kepada Allah Taa’la. Sekiranya ini dapat ditolak, tidak pula akan sunyi daripada kelupaan, berbuat kesemberonan dalam berilmu kema’rifannya terhadap Allah Taa’la, sifat-sifat serta af’al-af’alNya. Semua itulah yang merupakan kekurangan dan itupun ada sebab-sebabnya dan menggantikannya dengan jalan iaitu menyibukkan dirinya untuk berjalan dan berpindah ke jalan yang salah.
Maksud taubat yang sebenarnya dari segi bahasa adalah kembali. Manakala dari segi syariat ia bermaksud kembali mengikuti jalan yang benar dari jalan yang sudah ditempuhnya yang tentunya jalan yang sesat. Sebenarnya terlepas daripada sesuatu dosa bagi setiap manusia tidak mungkin sama sekali. Setiap manusia pasti akan melakukan kesalahan. Dan sekiranya kita telah menyedari kesalahan kita, kita seharusnya segera bertaubat kepadanya supaya kita akan mendapat tempat kembali di sisiNya.
Sekiranya seseorang manusia itu benar-benar menyesal atas kesalahan yang dilakukan dan dia bertaubat dengan segera, maka taubatnya pasti akan diterima oleh Allah Subhanahu wa ta’ala . Terdapat juga taubat yang Allah tidak terima iaitu kita sendiri tidak bersungguh untuk bertaubat kepadaNya. Taubat yang diterima oleh Allah Taa’la ialah apabila taubat itu sudah terkumpul syarat-syaratnya, sudah pasti ia tidak harus diragukan lagi bahawa taubatnya akan diterima Allah Subhanahu wa ta’ala . Semua ini kerana cahaya kebaikan itu pasti dapat menyirnakan kegelapan keburukan dari permukaan hati. Ini dapat disamakan dengan kegelapan pada malam hari yang pasti tidak tahan menghadapi cahaya siang hari. Juga dapat disamakan juga dengan mengenakan pakaian untuk pekerjaan yang hina dan banyak terkena kotoran dan pastinya kotoran tersebut akan kotor, tetapi setelah dicuci dengan air sabun yang panas, sudah pasti baju itu akan kembali bersih dan suci. Jadi, menggunakan hati dan nafsu untuk melakukan dosa yang tidak diredhai oleh Allah Taa’la itu pastilah akan mengotori hati itu sendiri dan apabila hati itu sudah dicuci dengan air mata serta panasnya penyesalan batin, maka hatinya pasti akan kembali bersih dan suci dari kesalahannya.
Maka dari hati yang suci dan bersih itu yang bersih daripada segala kekotoran, tentu sahaja akan diterima taubatnya, sebagaimana halnya pakaian yang suci dan bersih juga akan digemari oleh sesiapapun. Jadi yang penting bagi kita adalah membersihkan dan menyucikan hati kita daripada “kekotoran”.
Selebihnya, kita serahkan kepada Allah Subhanahu wa ta’ala . untuk menilai hati kita itu, sebab semua itu pasti sudah tertulis dan tercatat dengan terang-terangan untuk ketentuan sejak dari azali dulu yang bagi kita tidak mungkin untuk mengelak daripadanya. Jikalau nyata diterima, maka itulah yang dinamakan sebagai falah atau kebahagiaan.
Andainya, ada seseorang yang mempunyai perkiraan bahawa taubat itu boleh sahaja, tetapi tidak dapat diterima, maka orang yang seperti ini samalah seperti dengan menyangka bahawa matahari telah terbit, tetapi belum lagi hilang atau menyangka bahawa pakaian sudah tercuci dengan sabun, tetapi kotoran masih ada. Jadi jelaslah bahawa semua sangkaannya adalah salah. Ada kemungkinan taubat tidak diterima secara sekaligus iaitu boleh diibaratkan sebagai “daki”. Ini kerana karat-karat atau kekotoran yang melekat dan menjadi tompok-tompok tidak. dapat dibersihkan secara sekaligus sahaja. Ini boleh disamakan juga dengan baju yang amat kotor dan bertimbun-timbun kekotorannya itu sehingga sabun tidak kuat untuk melenyapkannya sekaligus. Kotoran-kotoran ini seperti ini tidak hanya berada di luar kain itu sahaja, tetapi sudah meresap ke dalam benang-benang pakaian itu sendiri. Dosa-dosa dari bekas kemaksiatan dapat disamakan juga seperti hal-hal di atas. Ia telah berkumpul menjadi satu, meresap ke dalam kalbu, sehingga hati itu betul-betul tertutup sama sekali oleh karat-karat yang dating dari luar dan akhirnya seolah-olah merupakan menjadi satu watak atau tabiat baginya. Hati yang semacam ini memang sukar untuk diajak kembali ke jalan yang benar atau diajak bertaubat kepada Tuhan, tetapi bukannya tidak mungkin asalkan ia dilakukan secara bersungguh-sungguh dan beransur-ansur. Jadi secara keseluruhannya, pasti tidak dapat atau sukar sekali, sehingga tidak mungkin terjadi.
Adakalanya ada yang berkata secara lisan : “ Saya sudah bertaubat “ dan sehabis berkata sedemikian, habislah perkara itu. Ini sama juga seperti seseorang yang mencuci pakaian yang bekata : “ Pakaian itu sudah saya cucikan!. “ Mari kita sama-sama renungkan baik-baik, adakah perkataan yang terkeluar dari lidah yang tidak bertulang ini sudah dapat mencucikan pakaian yang dimaksudkan. Ia sama sekali tidak dapat membersihkannya, selama ia tidak mengubah sifat pakaian tadi, dicucinya benar-benar dengan menggunakan sesuatu yang merupakan lawan dari sifat yang sudah melekat di situ. Jadi dengan berkata bahawa ia sudah bertaubat tanpa berbuat sesuatu yang merupakan amalan yang dapat megikis habis berkarat-karat dalam hatinya, tentulah tidak ada kemanfaatannya.
Semua sedia maklum bahawa taubat itu pokoknya ialah meninggalkan dosa. Meninggalkan sesuatu itu rasanya tidak mungkin, jikalau belum mengetahui apa yang seharusnya ditinggalkan itu. Oleh itu, kita seharusnya mmengambil tahu mengenai hal ehwal dosa yang harus kita tinggalkan.
Dosa adalah sebagai suatu keadaan yang menyalahi apa yang nyata menjadi perintah Allah Taa’la, baik yang berupa sesuatu yang perlu dilakukan atau sesuatu yang perlu ditinggalkan. Selanjutnya kita perlu maklumi bahawa bahan-bahan pendorong timbulnya dosa-dosa itu dapat diringkaskan dalam empat sifat iaitu ; sifat-sifat ketuhanan (Rububiah) , sifat-sifat kesyaitanan (Syaithaniah) , sifat-sifat kebinatangan (Bahimiah) dan sifat-sifat kebuasan (Sabu’iah) . Oleh itu, mari kita perincikan setiap satu daripada sifat-sifat yang disebutkan di atas.
Pertama, sifat Rububiah. Rububiah adalah hal-hal yang semata-mata yang hanya patut dimiliki oleh Zat yang berkedudukan sebagai Tuhan semesta alam. Untuk selain dari Dia wajiblah dilepaskan dan jikalau tetap dikenakan pada dirinya, maka nyata merupakan suatu dosa yang besar sekali. Di antara sifatnya ialah takbur (bongkak) , kebanggaan, suka dipuji dan disanjung serta diperelokkan, suka untuk tetap kekal, ingin memperoleh ketinggian secara keseluruhan.
Kedua, sifat Syaithaniah. Dari sifat ini muncullah berbagai penyakit hati yang buruk seperti hasad (dengki) , derhaka, curang, menipu, mengelabui, mengajak berbuat kerosakan dan kemungkaran dan melarang atau menghalang-halangi kebaikan. Dalam bab ini termasuklah pula sifat-sifat suka membujuk dan berbuat hal yang berupa kebid’ahan dan kesesatan.
Ketiga, sifat Bahimiah. Sifat ini memunculkan kejahatn-kejahatan seperti tamak dan nafsu. Akibatnya, berlakulah zina, liwat, mencuri, makan harta anak yatim dan menompok-nompok harta dunia untuk digunakan sebagai pemuas nafsu.
Keempat, sifat Sabu’iah. Sifat ini mengakibatkan kemarahan, kedengkian, menyerang orang lain, baik dengan memukul, maki hamun, membunuh, menghambur-hamburkan harta dan mengekang kemerdekaan orang lain. Kesan daripada sifat-sifat di atas itu lalu timbullah pula berbagai dosa dan kemaksiatan.
Semua manusia tahu bahawa dosa terbahagi kepada dua iaitu dosa kecil dan dosa besar. Kebanyakkan para ulama berselisih faham mengenai penggolongan dalam dosa. Oleh itu, mari kita sama-sama meghayati huraian dari beberapa hadis dan atsar. Perinciannya seperti berikut ;
menyekutukan sesuatu dengan Allah Taa’la, mengekalkan perbuatan kemaksiatan, putus asa dari kerahmatan Allah Taa’la, merasa aman dari rencana seksa Allah Taa’la, penyaksian dusta dan bathil, menuduh seorang yang muhsan (tidak berzina) dan melakukan perbuatan sihir. Oleh itu, kita seharusnya cepat-cepat bertaubat kepada Allah Subhanahu wa ta’ala .
Kesimpulannya, setelah kita bertaubat kita harus berusaha keras untuk melakukan kebaikan supaya dapat menutup segala keburukan yang telah dikerjakan dahulu. Kita harus menutup keburukan kita dengan hati, lisan dan anggota badan. Dengan hati, kita hendaklah merendahkan diri kepada Tuhan serta memohon ampun dan maaf dariNya. Manakala secara lisan, kita harus mengakui akan segala kesalahan kita dan memohon pengampunan dengan tulus ikhlas. Akhir sekali ialah, dengan anggota badan. Gunakanlah anggota badan ini untuk melakukan ketaatan kepadaNya, memperbanyakkan sedekah dan pertolongan serta mengamalkan ibadah sunat. Sekian.
Wassalam.

..............................................................
Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
Malaysia
013-4006206
011-1070-4212
04-988-2701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
abdazizharjin.blogspot.com