Tajuk: Halal dan Haram dalam Islam

Islam merupakan agama yang seimbang, jelas dan sempurna. Oleh itu, Allah menjadikan manusia supaya menjadi khalifah di muka bumi ini dan mengaturkan kesejahteraan bumi ini. Hidup di bumi perlulah melaksanakan hak-hak Allah yang dipertanggungjawapkan kepada kita sebagai hamba-Nya. Oleh itu, Allah telah melengkapkan tubuh manusia dengan gharizah(perasaan) dan nafsu. Di antara perasaan-perasaan itu ialah makan, dengan makan adanya perasaan kenyang. Di antaranya ialah perasaan sexual dan ini ialah perasaan yang sangat kuat pada tubuh manusia. Ini menyebabkan mereka akan mencari tempat untuk memuaskan keinginanya. Manusia pasti akan berhadapan dengan salah satu situasi berikut. Pertama, manusia akan melepaskan nafsu sexualnya sehingga akan pergi ke mana saja dan berbuat apa saja tanpa batasan. Kedua, manusia akan menentang nafsu sexualnya seperti yang terjadi dalam sesuatu golongan yang menganggap sexual itu kotor (cemar), melarang perkhawinan dan menganggap celaka kalau kahwin, seperti aliran mano, kependitaan dan sebagainya. Ketiganya, manusia akan membuat pembatasan tanpa menjatuhkan darjat manusia lain dan tanpa memberikan kebebasan yang melampau.

Agama Islam itu merupakan agama yang menjaga umat-umatnya. Agama Islam melarang keras kepada perzinaan, ini kerana perzinaan akan dapat mengaburkan masalah keturunan, merosakkan keturunan, menghancurkan rumahtangga, meluaskan penyakit sipilis, kejahatan nafsu dan yang penting ia dapat merosakkan akhlak. Allah telah berfirman; ”Jangan kamu mendekati pada perzinaan, kerana sesungguhnya dia itu perbuatan yang kotor dan cara yang tidak baik.” (al-Isra:32). Islam itu seperi yang kita maklum dan fahami, apabila mengharamkan sesuatu perkara, maka akan ditutupkan jalan-jalan yang menghampirinya. Justeru itu, apa saja yang membangkitkan fitnah, maka Islam melarangnya demi untuk menutup jalan berbuat haram dan menjaga daripada perbuatan yang merosakkan.

Pergaulan bebas adalah di antara jalan-jalan yang diharamkan Islam. Ini merujuk kepada bersendirian dengan perempuan lain tanpa mahramnya. Perempuan lain merujuk kepada bukan isteri, kerabat dan perempuan yang tidak boleh dikhawini. Ini kerana ingin menjaga kedua-dua belah pihak mahu lelaki atau perempuan dari perasaan tidak baik yang selalu bergelora tanpa orang ketiga disisi mereka. Firman Allah Subhanahu wa ta’ala dalam surah al-Azhab ayat 53 yang bermaksud ”Apabila kamu meminta sesuatu (makanan) kepada mereka (isteri-isteri Nabi), maka mintalah dibalik tabir. Kerana yang demikian itu dapat membersihkan hati-hati kamu dan hati-hati mereka”. Ini bererti bahawa manusia tidak boleh percaya pada diri sendiri dalam hubungannya dengan masalah bersendirian dengan perempuan yang tidak halal baginya. Oleh itu, eloklah memjauhi hal tersebut dan melindungka diri dengan sempurna.

Rasulullah juga memperingatkan tentang lelaki yang bersendirian dengan ipar.Ini kerana hal ini sudah terbiasa dan menganggap ipar itu sepeti keluarga biasa. Ini kerana jika bersendirian dengan ipar itu bahayanya lebih hebat daripada dengan orang lain da fitnahnya pun lebih hebat. Hal ini disebabkan lelaki itu boleh memasuki bilik perempuan itu tanpa ada sapa yang menegurnya. Berbeza sekali dengan orang lain. Rasulullah pernah bersabda yang berbunyi ”Hindarilah keluar-masuk rumah seorang perempuan. Kemudian ada seorang lelaki dari sahabat Ansar bertanya: Ya Rasulullah! Bagaimana pendapatmu tentang ipar? Maka jawap Nabi: Bersendirian dengan ipar itu sama dengan menjumpai mati.”(Riwayat Bukhari). Ipar bermaksud keluarga isteri/suami. Berkhalwat dengan ipar akan menghancurkan agama, merosakkan keluarga dan hubungan sosial antara keluarga. Ini lebih bahaya dari berkhalwat dengan orang lain.

Di antara sesuatu sebab dilarang pergaulan bebas diantara lelaki dan perempuan itu adalah masalah pandangan lelaki kepada perempuan dan seorang perempuan memandang lelaki itu. Ini kerana mata adalah kuncinya hati, dan pandangan adalah jalan yang membawa fitnah dan sampai kepada perbuatan zina. Bak kat pujangga, ”semua peristiwa itu asalnya dari pandangan, kebanyakan orang masuk neraka itu kerana dosa kecil, permulaaannya pandangan, kemudian senyum, lantas beri salam, kemudian berbicara, lalu berjanji; dan sesudah itu bertemu.” Allah Subhanahu wa ta’ala telah berfirman: ” Katakanlah kepada orang-orang mukmin lelaki: hendaklah mereka itu menundukkan sebahagian pandangannya dan menjaga kemaluannya, kerana yang demikianlah itu lebih bersih bagi mereka. Sesungguhnya Allah maha melihat terhadap apa-apa yang kamu kerjakan. Dan kepada orang-orang mukmin perempuan: hendaklah mereka itu menundukkan sebahagian pandangannya dan menjaga kemaluannya, dan jangan menampak-nampakkan perhiasannya kecuali apa yang biasa nampak daripadanya, dan hendaklah mereka itu melabuhkan tudung sampai ke dadanya, dan jangan menampakkan perhiasannya kecuali kepada suaminya atau ayahnya atau mertuanya atau anak-anak lakinya atau kepada anak-anak suaminya atau saudaranya atau anak-anak saudara lelakinya atau anak-anak saudara perempuannya sesama perempuan atau hamba sahayanya atau orang-orang yang mengikut (bujang) yang tidak keinginan, iaitu anak orang-orang lelaki atau anak yang tidak suka memperhatikan aurat perempuan dan jangan memukul-mukulkan kakinya supaya diketahui apa-apa yang mereka rahsiakan dari perhiasannya.”

Pandangan merupakan sesuatu yang perlu dijaga dan dipelihara, ini kerana apabila memandang jenis lain tidak mengamati kecantikannya dan lama menoleh kepadanya serta tidak lama menolehnya serta tidak mengamatinya. Pesan Rasulullah kepada Saiyidina Ali: ”Hai Ali! Jangan sampai pandangan yang satu mengikuti pandangan yang lainnya. Kamu hanya boleh pada pandangan pertama, adapun yang berikutnya tidak boleh”. Rasulullah menganggap pandangan yang liar itu adalah zina mata. Sabda beliau: ” Dua mata itu berzina, zinanya ialah melihat”. Dinamakan zina mata itu adalah memandang dengan melepaskan nafsu sexulanya dengan jalan yang tidak baik. Ini kerana Rasulullah telah berpesan ”Jangan Berzina”, dan itu telah jelas tidak boleh diperkotak-katikan isi itu lagi.

Di antara ditundukkannya pandangan, ialah kepada aurat. Ini kerana manusia mempunyai syahwat yang kadang-kala sukar dikawal apatah lagi jika bersendirian lelaki dan perempuan. Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam : ”Seseorang lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki, dan begitu juga perempuan tidak boleh melihat aurat perempuan lain, dan tidak boleh seorang lelaki bercampur dengan lelaki lain dalam satu pakaian, dan begitu juga perempuan dengan perempuan lain bercampur dalam satu pakain”. Aurat lelaki dengan lelaki lain atau perempuan dengan perempuan lain, iaitu antara pusat dan lutut, sebagaimana dalam hadis Nabi. Walaupun bagaimanapun, aurat perempuan dalam hubungan dengan lelaki lain ialah seluruh tubuh badannya kecuali muka dan tapak tangan. Namun begitu, aurat perempuan dengan mahramnya telah diterangkan dalam hadis menunndukkan pandangan. Ada yang tidak boleh dilihat, tidak juga boleh disentuh, baik dengan anggota-anggota badan yang lain. Semua aurat haram dilihat dan disentuh adalalah dengan keadaan normal tetapi jika dalam process perubatan, maka haram itu akan hilang sama sekali. Syarat itu dibolehkan dengan syarat tidak boleh menimbulkan fitnah dan tidak ada syahwat. Jika berlaku fitnah dan bersyahwat, maka kebolehan untuk haram itu hilang sama sekali.

Oleh itu, adanya batas yang dibolehkan melihat aurat lelaki dan perempuan. Seperti keterangan yang disebut sebelum ini, jelas bahawa perempuan yang melihat lelaki itu tidak pada auratnya, iaitu atas pusat hingga bawah lutut hukumnya ialah mubah, selama tidak diikuti dengan syahwat dan tidak dikhuatiri menimbulkan fitnah. Ini kerana Rasulullah sendiri pernah memberi izin kepada Aisyah untuk menyaksikan orang-orang Habsyi yang sedang mengadakan permainan di masjid Madinah sampai lama sekali sehingga dia bosan dan pergi.

Seperti juga seorang lelaki melihat perempuan itu tidak pada auratnya, iaitu dibahagian tapak tangan dan muka iaitu hukumnya mubah selama tidak diikuti dengan syahwat dan tidak menimbulkan fitnah. Aisyah meriyawatkan, bahawa saudaranya iaitu Asma’ binti Abubakar pernah masuk di rumah Nabi dengan berpakaian jarang sehingga nampak kulitnya, kemudian beliau berpaling dan mengatakan: ”Hai Asma’! Sesungguhnya seseorang perempuan apabila sudah datang haidh, tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu, melainkan ini dan ini – sambil menunjukkan muka dan tapak tangan.”(Riwayat Abu Daud) 

Ringkasnya, bahawa melihat biasa pada bukan aurat baik terhadap lelaki atau perempuan itu, selama berulang dan tidak menjurus pada kemesraan dan tidak untuk menimbulkan fitnah, hukumnya tetap halal. Salah satu ruang dalam Islam iaitu: Dia membolehkan melihat yang sifatnya mendadak pada bahagian yang seharusnya tidak boleh secara berulang telah diriwayatkan: ”Dari Jarir bin Abdullah, ia berkata: Saya bertanya kepada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam tentang melihat secara mendadak. Maka jawap Nabi: Palingkanlah pandanganmu itu!” (Riwayat Ahmad, Muslim, Abu Daud dan Termizi). Ini bermaksud jangan kamu ulangi melihat untuk kedua kalinya.

Dalam konteks ini juga menekankan tentang perhiasan perempuan yang tidak boleh dan boleh dinampakkan. Ini ada hubungan dengan menundukkan pandangan yang terdapat dalam dua ayat di surah an-Nur 30-31, Allah perintahkan kepada lelaki dan perempuan. Adanya khusus untuk perempuan dalam ayat kedua (ayat 31) iaitu: Firman Allah: ”Janganlah orang-orang perempuan menampakkan perhiasannya, melainkan apa yang biasa nampak daripadanya.” Yang dimaksudkan perhiasan perempuan, iaitu apa saja yang dipakai berhias untuk mempercantikkan tubuh badan, baik ciptaan asli dan seperti wajah, rambut dan potongan badan. Manakala yang bukan ciptaan ialah pakaian, perhiasan, make-up dan sebagainya. Dalam ayat itu Allah memerintahkan supaya menyembunyikan perhiasan dan melarang untuk menampak-nampakkannya kecuali kepada mereka yang dihalalkan. Firman Allah: ”Hendaklah mereka itu melabuhkan tudungnya sampai ke dadanya.” (an-Nur:31).

Perkataan tudung itu merujuk kepada semua alat untuk menutup kepala. Setiap muslimah harus menutup kepalanya dengan tudung dan menutup belahan dadanya dengan apapun yang memungkinkan, termsuk lehernya, sehingga tidak sedikit pun tempat-tempat yang membawa fitnah ini terbuka sehingga menyebabkan orang suka. Firman Allah: ”Dan hendaknya mereka itu tidak menampak-nampakkan perhiasanya terhadap suami atau ayahnya.”(an-Nur:31). Ayat ini merujukkan kepada wanita menyembunyikan perhiasannya kecuali kepada orang yang halal baginya untuk melihatnya.

Terdapat 12 orang yang boleh melihat atau larangan melihat perhiasan dikecualikan. Mereka itu ialah pertama, suami. Yakni suami boleh melihat isterinya apapun ia suka. Kedua, ayahnya termasuk juga datuk, baik dari pihak ayah atau ibu. Ketiga, ayah mertua kerana mereka ini telah dinanggap sebagai ayah sendiri dalam hubungan dengan isterinya. Keempat, anak-anak lelakinya termasuk cucu, baik dari anak-anak lelaki atau perempuan. Kelima, anak-anak suaminya kerana sudah menjadi keharusan untuk bergaul dengan mereka disebabkan isterinya telah menjadi status untuk ibu kepada anak-anak tersebut. Keenam, saudara lelaki, baik sekandung, seibu atau sebapa. Ketujuh, anak buah kerana mereka ini selamanya tidak boleh dikahwini. Kelapan, sesama perempuan atau sejantina, baik ada kaitan agama atau tidak ada. Sebab perempuan itu haram dikahwini. Kesembilan, anak saudara dari pihak perempuan kerana mereka ini tidak boleh dikahwini. Kesepuluh, hamba abdi kerana mereka ini dalam Islam dianggap sebagai anggota keluarga. Kesebela, bujang dan orang-orang rakan serumah yang tidak ada syahwat. Mereka ini golongan buruh atau orang yang mengikuti perempuan itu tanpa ada syahwat kerana keadaan kesihatan atau anggota. Keduabelas, anak-anak kecil yang tidak mungkin bersyahwat. Inilah golongan yang dikecualikan dalam melihat aurat perempuan tetapi ini tidak bermakna mereka boleh melampau batas-batas yang telah ditetapkan oleh Islam.

Seperti yang kita ketahui dalam pergaulan atau perhubungan antara mesti ada batas-batas yang perlu diikuti dan dipatuhi. Antara batas itu adalah berkaitan aurat. Tentang aurat lelaki ianya agak mudah untuk difahami dan mudah untuk memahami. Oleh itu, kita akan memperbincangkan tentang aurat perempuan kerana hal ini selalu dipertikaikan kerana mereka tidak faham terutamanya kaum perempuan itu sendiri. Seperti yang difahami, aurat perempuan dengan lelaki lain dan perempuan yang berlainan agama ialah seluruh tubuh badan kecuali muka dan tapak tangan. Oleh kerana itu orang perempuan diperintahkan untuk menutupi semua anggota yang harus dibuka dan diberi rukshah untuk membuka anggota yang biasa terbuka dan mengharuskan dibuka. Tentang aurat perempuan dan bersama mahramnya ialah diantara lutut hingga pusat.

Ini kerana apa yang biasa dinampak oleh mahramnya dirumah ketika berkerja mahramya boleh melihat. Justeru itu Allah telah memerintahkan kepada perempuan-perempuan mu’minah hendaklah mereka memakai jilbab ketika keluar rumah, supaya berbeza dengan perempuan kafir dan pelacur. Allah telah berfirman yang bermaksud: ”Hai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin semua hendaklah menghulurkan jilbab-jilbab mereka atas muka-muka mereka. Yang demikian itu lebih mendekati mereka untuk dikenali supaya mereka tidak diganggu.” (al-Ahzab:59). Jilbab, ialah pakaian yang lebarnya semacam baju kurung untuk dipakai perempuan gunakan untuk menutupi wajahnya.

Perkara tersebut mempunyai hikmahnya kerana perempuan jahiliah apabila keluar rumah mereka dengan menunjukkan sebahagian aurat mereka seperti dada, leher dan rambut sehingga mereka dikacau oleh lelaki yang miang. Jelas perintah itu untuk melindungi perempuan-perempuan muslimah dan ini akan menimbulkan perasaan takut dan tidak percaya pada diri sendiri ini disebabkan kerana mereka sering dikacau oleh lelaki-lelaki yang miang dan gatal. Ini bertetapan dengan firman Allah: ”Janganlah perempuan-perempuan itu berlaku lemah dengan perkataannya, sebab akan menaruh harapan orang yang dalam hatinya ada penyakit.” Tetapi Allah memberikan kelonggaran tentang aurat ini kepada orang-orang tua. Firman Allah: ”Dan perempuan-perempuan yang sudah putus haidthnya dan tidak ada harapan untuk kahwin lagi, maka tidak berdosa baginya untuk melepas pakaiannya, asalkan tidak menampak-nampakkan perhiasannya. Tetapi kalau mereka menjaga diri akan lebih baik bagi mereka, dan Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.”(an-Nur:60). Yang dimaksudkan perempuan-perempuan yang duduk, iaitu perempuan-perempuan yang sudah tidak haidth dan tidak beranak lagi kerna sudah tua. Justeru mereka tidak ada keinginan untuk kahwin dan tidak suka pada lelaki, dan juga lelaki tidak menyukai mereka lagi.

Antara yang perlu kita ketahui, khususnya tentang masalah penyaluran sexual dalam hukum Islam. Sebagaimana Islam itu mengharamkan zina dan seluruh jalan yang membawa kepada perbuatan tersebut. Begitu juga dengan Islam mengharamkan hubungan sex yang tidak normal yang sekarang ini dikenali dengan Liwath(homosex). Perbuatan ini bertentangan dengan fitrah manusia, melemparkan kotoran ke dalam jiwa, merosakkan sifat kelakian dan merampas hak-hak perempuan. Tersebarnya kotoran ini dalam masyarakat dan hancurnya existensi masyarakat masyarakat tersebut diperhambakan. Cukuplah bagi kita apa yang dikatakan al-Quran tentang kisahnya kaum Nabi Luth yang bergelimang dalam kemungkaran ini. Mereka tinggalkan isteri-isterinya yang baik dan halal, justeru untuk menuruti syahwat yang haram ini. Nabi luth mengatakan kepada mereka: ”Apakah patut kamu datangi orang-orang lelaki dan kamu tinggalkan isteri-isteri kamu yang justeru dijadikan oleh Tuhanmu untuk kamu? Bahkan kamu adalah kaum melewati batas.” (as-Syu’ara’:165-166).


Al-Quran menentang mereka ini melalui lidah Luth, dengan mengganggap sebagai perbuatan yang memusuhi, kebodohan, berlebih-lebih, merosak dan dosa. Ini kerana menunjukkan keganjilan yang merosakkan fitrah mereka, menghilangkan kesedaran mereka, jatuhnya martabat mereka dan merosakkan perasaan. Pelbagai cara untuk menghentikan perbuatan ini dan hukuman yang diberi. Ahli-ahli fiqh berbeda pendapat tentang hukuman orang yang membuat kemungkaran ini. Haruskan mereka itu dihukum seperti orang berzina? Ataupun kedua belah pihak itu harus dibunuh? Kalau dibunuh, dibunuh pakai pedang atau di bakar? Ataupu dijatuhkan dari bangunan tinggi? Ketegasan ini kadang-kadang nampaknya seperti kejam tapi ini hanya demi membersihkan masyarakat Islam dari dosa yang berbahaya dan perosak yang hanya akan melahirkan kerosakan dan keonaran belaka.

Kadang-kadang darah anak muda itu bergelora, kemudian dia menggunakan tangannya untuk mengeluarkan mani supaya alat kelamin itu menjadi tenang dan darahnya yang bergelora itu menurun. Cara ini dikenali sebagai ”onani”. Kebanyakkan ulama mengharamkan perbuatan tersebut, di antara Imam Malik. Beliau memakai dalil ayat yang berbunyi: ”Dan orang-orang yang memelihara kemaluannya kecuali terhadap isterinya atau hamba sahayanya, mereka yang demikian itu tidak tercela. Tetapi barang siapa mahu selain yang demikian itu, maka mereka itu adalah orang-orang yang melampaui batas.” (al-Mu’minun:5-7). Ini kerana onani adalah melepaskan syahwatnya bukan pada tempat dan waktunya. Sedang itu ahmad bin Hanbal berpendapat, mani itu adalah barang berlebihan.


Pendapat ini telah diperkuat oleh Ibnu Hazm. Tetapi ulama-ulama Hanafiah memberi batas kebolehan itu dalam dua perkara iaitu satu, kerana takut berbuat zina. Kedua, kerana tidak mampu kahwin. Pendapat Imam Ahmad ini mungkin untuk kita jatuh ke hukum haram. Tetapi keadaan yang membolehkan onani ini pada situasi tertentu sebagai contoh, misalnya seorang pemuda yang sedang belajar di tempat lain yang jauh dari negerinya, berada dibawah pengaruh yang kuat dan dia khuatir akan melakukan zina. Kerana itu tidak berdosa baginya untuk meredakan darah yang bergelora dengan menggunakan cara onani ini.

Ada cara lain yang diajarkan oleh Rasulullah kepada pemuda yang tidak mampu kahwin, iaitu dia memperbanyakkan puasa, dimana puasa itu dapat mendidik beribadah, mengajar kesabaran, menguatkan kecekalan untuk bertaqwa dan yakin terhadap Allah. Untuk itu Rasulullah telah bersabda: ”Hai para pemuda! Barangsiapa diantara kamu sudah ada kemampuan, maka kahwinlah sebab dia itu dapat menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan, tetapi barangsiapa tidak mampu, maka hendaklah ia berpuasa, sebab puasa itu baginya merupakan pelinding.”

Sebagai kesimpulannya, apa yang dihalalkan dan diharamkan dalam Islam itu ada hikmahnye tidak kira apa perkara sekali pun walaupun perkara itu nampak remeh tetapi ada kepentinganya yang kita kadand-kadang tidak perasan apatah lagi mahu mengkajinya. Oleh itu, Allah telah menetapkan segalanya dalam Al-Quran supaya kita mengkajinya. Kita sebagai hamba-Nya perlu lah menuruti apa Suruhan-Nya tanpa rasa ragu atau curiga agar kita tidak terpesong dari ajaran-Nya. Apa yang diharamkan oleh Allah mesti dituruti dan segala jalan yang menghampiri perkara itu mestilah dicegah dan dijauhi agar kita sentiasa di rahmati dan dilindungi.



..............................................................
Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
Malaysia
013-4006206
011-1070-4212
04-988-2701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
abdazizharjin.blogspot.com